PETALING JAYA: Kolej Antarabangsa Goon (GIC) dan Universitas Gadjah Mada (UGM) memperkukuh kerjasama strategik bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan tinggi antarabangsa kepada pelajar Malaysia.
Inisiatif berkenaan memberi fokus kepada peluang melanjutkan pengajian di UGM untuk pelajar dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, selain menyediakan laluan pendidikan yang lebih jelas kepada mereka.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, GIC turut menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains, khususnya mereka yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang dan berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Antara bidang pengajian yang berpotensi diketengahkan termasuk Sarjana Muda Perubatan (MBBS), Sarjana Muda Pergigian, Sarjana Muda Farmasi dan Sarjana Muda Perubatan Veterinari.

Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata, kerjasama itu bertujuan membantu pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian ke UGM dengan sasaran pengambilan 100 pelajar pada Januari tahun depan.
“Kami mahu pelajar memahami bahawa terdapat pelbagai laluan untuk mereka melanjutkan tahap pendidikan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. Melalui kerjasama ini, kami mengharapkan peluang pendidikan ini akan lebih mudah diakses.
“GIC juga akan menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains. Inisiatif ini bagi memberikan sokongan tambahan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhabr selepas Kerjasama Strategik GIC dan UGM di Goon International College, , hari ini, yang turut menghimpunkan wakil kedua-dua institusi serta Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Dekan Jabatan Anatomi UGM, Prof. Teguh Budipitojo menyambut baik kerjasama berkenaan yang disifatkan sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
“Kami berharap kerjasama ini dapat memberikan pelajar Malaysia akses lebih luas kepada peluang akademik, maklumat serta pengalaman pembelajaran antarabangsa di UGM.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jabatan Anatomi UGM. Saya percaya melalui kerjasama ini, jumlah pelajar akan bertambah. Ini sangat baik untuk sector Pendidikan Malaysia-Indonesia,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama itu turut berpotensi dikembangkan kepada penglibatan akademik lebih luas, mobiliti pelajar serta bentuk kerjasama institusi lain pada masa hadapan.
Kerjasama GIC dan UGM juga membuka ruang untuk kedua-dua institusi meneroka bidang seperti mobiliti pelajar, aktiviti pelajar, program akademik serta bentuk kerjasama institusi lain, tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan bersama.
Inisiatif berkenaan diharap menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai program pada masa hadapan yang dapat memperkukuh pengalaman pembelajaran, pembangunan pelajar serta hubungan akademik Malaysia-Indonesia.- UTUSAN











