Shah Firdaus sah terlepas Kejohanan Dunia

Shah Firdaus sah terlepas Kejohanan Dunia

Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang beraksi dalam acara pecut dan keirin di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Shanghai, China, minggu depan selepas ketipan matanya tidak melepasi syarat. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kutipan mata yang tidak mencukupi dalam saingan Piala Dunia Trek 2026 menyaksikan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang beraksi dalam acara pecut dan keirin di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Shanghai, China, minggu depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengesahkan Shah tidak melepasi syarat untuk beraksi dalam kedua-dua acara berkenaan, sekali gus menyaksikan pelumba berusia 31 tahun itu kehilangan satu lagi medan penting dalam usaha memburu tiket Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Memang benar, kutipan mata Shah tidak melepasi untuk menyertai acara keirin dan pecut individu,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.

Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 18 Oktober itu cukup penting kerana menjadi antara medan pertama kutipan mata dalam tempoh kelayakan LA28, namun Shah gagal mengumpul mata mencukupi selepas menyertai dua daripada tiga siri Piala Dunia musim ini.

Shah tidak menyertai siri pertama di Perth, Australia pada 6 Mac lalu bagi memberi ruang kepada lututnya menjalani proses pemulihan selepas pembedahan, sebelum kembali beraksi pada siri kedua di Hong Kong pada 17 April dan terkandas dalam pusingan repechage keirin.

Dalam perlumbaan itu, Shah yang baru kembali daripada kecederaan menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saringan kelima repechage, di belakang Kevin Quintero dari Colombia dan Nick Wammes dari Kanada, sekali gus gagal mara ke pusingan seterusnya.

Di siri terakhir di Velodrom Nasional, Nilai pada 24 April, Shah sekali lagi terkandas dalam pusingan repechage keirin selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, selain menerima amaran kerana tunggangan berbahaya.

Keputusan berkenaan tidak mengejutkan memandangkan Shah ketika itu masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut kanan pada Oktober tahun lalu, selain mengalami penyusutan otot yang ketara di bahagian kaki kanan.

Di Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini, Shah menamatkan saingan keirin di tempat kelima, manakala kempen acara pecut individunya terhenti pada pusingan kedua selepas mencatat 9.850 saat (s), masih jauh daripada catatan terbaik peribadinya 9.481s. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN