ROMPIN: Rata-rata pesawah di Jelapang Padi Paya Sepayang di sini, bertekad meninggalkan sawah selepas mendakwa mengalami kerugian besar apabila tanaman padi musnah diserang keladi agas, ulat batang, kutu beruang serta penyakit ‘misteri’ yang menyebabkan pokok bertukar kekuningan sebelum mati.
Seorang pesawah, Ghani Mohd. Ros, 61, berkata, keadaan itu menyebabkan kira-kira 65 peratus kawasan sawah padi tidak dapat dituai.
“Yang dapat dituai pun rugi kerana hasil yang sedikit, salah satu lot sawah saya yang baru tuai hanya dapat 1.4 tan metrik dengan potongan jualan sebanyak 55 peratus dan cuma dapat RM1,200 sedangkan kos penanaman bagi satu lot seluas tiga ekar (1.2 hektar) mencecah RM7,120.
“Bukan sahaja modal tidak dapat tetapi kami rugi dan tidak mampu lagi menanam padi pada musim depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly di Sawah Padi Sepayang di sini.
Baru-baru ini, pesawah di daerah ini dilaporkan berada dalam keadaan tertekan apabila modal lebih RM200,000 yang digunakan untuk menanam padi lebur selepas sawah diusahakan mereka ditumbuhi pokok keladi agas dan paku rawan secara agresif sejak empat bulan lalu.
Fenomena luar biasa di Jelapang Padi Paya Sepayang melibatkan 202 pesawah berdaftar itu dikatakan pertama kali berlaku sehingga menyebabkan sebahagian besar pokok padi yang ditanam di kawasan seluas 240 hektar mati.
Ghani berkata, sejak menjadi pesawah, ini adalah pertama kali serangan padi yang teruk sehingga kesemua 202 pesawah berdaftar di kawasan itu terjejas teruk dan mengalami kerugian.
Menurutnya, berdasarkan keadaan sawah teruk menyebabkan kira-kira 400 ekar sawah padi tidak dapat dituai langsung pada musim kali ini.
Seorang lagi pesawah, Mohd. Kamal A. Rahman, 64, berkata, dia yang sudah 40 tahun mengusahakan padi di kawasan itu bukan sahaja kehilangan modal untuk penanaman semula malah terpaksa menanggung hutang.
Katanya, dia yang mengusahakan lima lot bendang dan hanya bergantung kepada pendapatan bersawah dan kerja kampung kini hilang punca pendapatan.
“Kami bukan hendak kaya tetapi untuk belanja makan minum sahaja dan kali ini memang teruk kerana tiada langsung hasil selepas berbulan-bulan turun ke sawah.
“Sekarang saya hanya memikirkan bagaimana hendak menjelaskan bayaran sewa tanah, bayaran hutang bajak musim lalu dan hutang-hutang lain untuk mengusahakan sawah,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Fadzly berkata, tindakan segera perlu dilakukan pihak berkaitan malah beliau sendiri akan bertemu dengan Menteri Pertanian dalam tempoh terdekat bagi menyuarakan masalah yang bukan sahaja membebankan petani malah menjejaskan bekalan beras negara.
“Keadaan ini bagi saya pihak kementerian kena campur tangan dan insya-Allah saya akan bertemu pihak menteri sendiri untuk memaklumkan kepada beliau keadaan di sini dan saya akan minta, cuba susun keberadaan menteri untuk dibawa ke tempat kita ini untuk beliau meninjau sendiri apakah yang perlu dibuat.
“Saya pernah bawa menteri ke Pekan, alhamdulillah menteri beberapa kali datang ke Pekan dan insya-Allah saya tidak janji tetapi saya cuba maklumkan segera perkara ini kepada menteri untuk beliau datang sendiri ke Paya Sepayang,” katanya ketika meninjau keadaan sawah padi Paya Sepayang di sini. – UTUSAN











