PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Fergus Tierney mahu terus memastikan namanya berada dalam senarai panggilan skuad kebangsaan untuk aksi akan datang.
Tierney berkata, pengalaman kembali menyarung jersi Harimau Malaya di pentas senior adalah satu penghormatan besar dan dia mahu terus berkembang bersama skuad kebangsaan.
“Ini satu pengalaman yang hebat. Sudah agak lama sejak saya berada di sini bersama pasukan kebangsaan senior, sentiasa seronok dan penghormatan untuk mewakili Malaysia.
“Kita melalui kejohanan yang baik, dan saya berharap untuk terus bertambah baik supaya kita boleh terus berkembang sebagai satu pasukan dan melakukan dengan lebih baik lagi dalam kejohanan yang akan datang,” kata Tierney.
Kelmarin, Tierney muncul wira Harimau Malaya apabila meledak gol kemenangan ketika Malaysia menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno.
Dalam aksi menentang Vietnam, Tierney meledak gol pada minit ke-61 menerusi percubaan dari luar kotak penalti untuk memecah kebuntuan dan menghadiahkan kemenangan kepada Harimau Malaya.
Kejayaan itu membolehkan Malaysia menutup kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga selain mencatat rekod tanpa kalah dan tidak dibolosi dalam empat perlawanan.
Dalam pada itu, Tierney percaya Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe mempunyai peluang cerah untuk mengecapi kejayaan lebih besar pada masa akan datang.
“Kami mengharungi kejohanan yang baik kali ini dan kami mahu melakukan dengan lebih baik lagi dalam aksi seterusnya selepas ini” katanya. – UTUSAN











