PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), Datuk Ng Wei Wei, sekali lagi diiktiraf Fortune sebagai antara Wanita Paling Berkuasa Asia (Most Powerful Women Asia) apabila naik ke tangga ke-85 tahun ini berbanding ke-95 sebelum ini.
Senarai tahunan yang menampilkan 100 wanita itu turut menempatkan Ng Wei Wei sebagai warga Malaysia berkedudukan tertinggi, dalam kalangan pemimpin dari 14 negara lain di Asia.
Fortune berkata, kedudukan tersebut mencerminkan sumbangan berterusan beliau terhadap UOB, pelanggan dan komuniti, selain pertumbuhan negara.
“Ia merupakan pengiktirafan yang cukup bermakna terhadap kepimpinan beliau yang berteraskan tujuan serta impak yang terus dibawa kepada UOB, pelanggan dan komuniti kami.
“Sumbangan beliau juga terserlah dalam usaha memacu pertumbuhan Malaysia dan hubungan serantau,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Senarai Rantau Asia Fortune, Ashleigh Nghiem berkata, kuasa perniagaan di seluruh Asia-Pasifik sedang beralih dan senarai tahun ini memaparkan wanita yang berada di barisan hadapan perubahan itu.
“Ketua Pegawai Eksekutif DBS Group, Tan Su Shan, mengekalkan kedudukan pertama, manakala pengasas Lens Technology, Zhou Qunfei, mencatat lonjakan terbesar tahun ini apabila naik 25 tangga ke tempat ketiga.
“Sektor teknologi mendahului senarai dengan 16 wanita, mengatasi perbankan dengan 14 wanita, sekali gus mencerminkan kekuatan Asia yang luar biasa dalam bidang perkakasan, elektronik dan pembuatan termaju dan secara kolektifnya, mereka membentuk industri, syarikat dan pasaran jauh melangkaui rantau ini,” katanya.
Tambahnya, hampir suku daripada 100 wanita itu ialah penyertaan baharu. – UTUSAN








