JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat dan seorang pekerja kilang plastik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencuri sebuah lori berwarna hijau milik seorang individu lain, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Chai Min Quan, 37, dan Low Boon Lai, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri lori kepunyaan Max Theu Zhi Wei, 38, di kawasan parkir berhadapan sebuah stesen minyak di Taman Perindustrian Plentong, Masai di sini, pada pukul 7.40 pagi, 30 September lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Boon Lai turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu lori itu secara merbahaya selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.
Dia sebagai pemandu lori itu didakwa telah memandu kenderaan berkenaan secara merbahaya dengan melakukan aksi melawan arus selain membuat pusingan U yang merbahaya kepada orang awam di Jalan Mawar Biru, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini, pada pukul 10.20 pagi, hari sama.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000. Selain itu, lesen memandu tertuduh juga perlu diendors oleh mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab pula, Boon Lai juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan lain iaitu dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis menjalankan tugas di kawasan pentadbiran Balai Polis Pasir Putih, di sini, pada pukul 8.25 pagi, hari sama.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh sama juga didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.7 gram di tepi Jalan Mawar Biru, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini, pada pukul 10.20 pagi, hari sama.
Atas kesedaran itu pula, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala di Mahkamah Sesyen, Min Quan pula mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, N. Kanageswari atas pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki berusia 44 tahun dengan cara melanggar menggunakan kereta jenis Mitsubishi Triton yang mana tertuduh tahu perbuatan itu boleh menyebabkan kematian kepada mangsa di Jalan Bayu 7, Bandar Seri Alam, Masai, di sini pada pukul 8 pagi, hari sama.
Atas kesalahan itu, pengarah syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar; Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal dan Nur Fatihah Mohd. Nizam serta Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S. Vikineswary, manakala Min Quan diwakili peguam, Yap Che Kai dan Boon Lai pula tidak diwakili peguam.
Secara keseluruhannya, mahkamah membenarkan Min Quan diikat jamin sebanyak RM18,500, manakala Boon Lai pula sebanyak RM17,000. Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes-kes berkenaan pada 23 Oktober, 5 November; 18 November dan 7 Disember depan.-UTUSAN










