TEMERLOH: Kerajaan Pahang tidak akan berkompromi dengan penerokaan hutan secara haram di kawasan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera, sebaliknya tindakan penguatkuasaan akan dikenakan tanpa mengira pihak yang terbabit.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendirian itu selaras dasar kerajaan negeri untuk melindungi tanah dan hutan daripada pencerobohan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat serta kedaulatan negeri.
“Sebab itu kita ambil tindakan apabila ada pembukaan tanah haram. Kita di Pahang tidak berkompromi dengan pembukaan tanah haram. Kita akan kuat kuasa tanpa mengira siapa pun.
“Sekiranya kita dapati mereka menceroboh tanah secara haram, kita akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Terbuka Kampung Sempadan Lancang di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, dalam konteks Tasik Bera, tindakan terhadap penerokaan haram penting bagi memastikan kerajaan negeri tidak berdepan teguran UNESCO sekiranya kegiatan berkenaan dibiarkan tanpa tindakan
“Sebab itu kita ambil tindakan. Kalau kita biarkan, sudah pasti UNESCO akan buat teguran. Tetapi apabila kerajaan negeri mendapat tahu ada pembukaan atau pembakaran, kerajaan negeri akan ambil tindakan,” katanya.
Menurutnya, kegiatan pembukaan tanah secara haram itu berlaku di luar pengetahuan kerajaan negeri sebelum ia dikesan, namun tindakan diambil selepas pihak berkuasa mengetahuinya.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh membiarkan penerokaan haram berterusan kerana tanggungjawabnya bukan sahaja berkaitan pengurusan tanah, malah memastikan kawasan yang sepatutnya dilindungi terus terpelihara.
Ditanya mengenai langkah pemulihan kawasan hutan yang sudah diteroka secara haram, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya.
Baru-baru ini, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak Ramsar sejak 1994 kini berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar dilaporkan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah serta pelbagai tanaman kontan. – UTUSAN











