Tambang ECRL dijangka diumum bulan ini, jualan tiket bermula November - Utusan Malaysia

Tambang ECRL dijangka diumum bulan ini, jualan tiket bermula November

DARWIS Abdul Razak pada sesi taklimat editor bersama MRL dan pasukan kanan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengenai perkembangan terkini projek serta persediaan operasi seawal Disember 2026 di Hotel Sunway Putra di sini, hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan bulan ini akan ditetapkan pada kadar yang mampu milik kepada pengguna. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pengumuman itu bakal membuka laluan kepada penjualan tiket yang disasarkan bermula November, sebelum ECRL memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas mengenai kadar tambang, beliau berkata, perkara itu masih menunggu keputusan kerajaan dan akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata, berikutan operasi komersial ECRL disasarkan bermula pada pertengahan Disember, MRL berharap jualan tiket dapat dibuka sepanjang November.

“Kita berharap penjualan tiket kalau boleh dibuka sepanjang bulan November,” katanya pada Sidang Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama media arus perdana di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB), Mohd Zaidi Sharif berkata, tambang ECRL dijangka lebih tinggi berbanding bas tetapi lebih rendah daripada penerbangan, selaras dengan perkhidmatan lebih premium yang ditawarkan.

Jelasnya, perkhidmatan itu akan menawarkan perjalanan yang lebih selesa dan boleh dipercayai dengan sasaran tahap ketepatan masa antara 95 hingga 99 peratus. 

Bagaimanapun, beliau berkata, kemampuan rakyat kekal menjadi antara faktor utama yang diambil kira dalam menentukan kadar tambang.

“Dari segi penentuan harga, kemampuan atau mampu milik adalah salah satu faktor utama untuk menentukan harga.

“Kita meletakkan perkhidmatan ini antara harga tiket bas dan penerbangan, dengan menawarkan perjalanan yang lebih premium, lebih selesa dan lebih boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pelan operasi semasa, sebanyak 12 perjalanan akan disediakan pada hari bekerja dan 13 perjalanan pada hujung minggu.

Menurutnya, jumlah perjalanan itu membolehkan ECRL menawarkan kira-kira 2.2 juta hingga 2.5 juta tempat duduk setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN