Inkues Zara Qairina: Kakak tiri dakwa alami tekanan emosi - Utusan Malaysia

Inkues Zara Qairina: Kakak tiri dakwa alami tekanan emosi

ZARA Qairina Mahathir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kakak tiri kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendakwa, layanan ibu tirinya berubah apabila bapa mereka keluar bekerja sehingga menyebabkan dia mengalami tekanan emosi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malianah Mahathir, 25, berkata, dia tinggal bersama bapa kandungnya, Mahathir Mohd Hashim dan ibu tirinya, Noraidah Lamat selama sekitar tujuh bulan dari penghujung tahun 2011 sehingga Jun 2012.

Saksi ke-81 prosiding inkues itu berkata, Noraidah melayannya dengan baik ketika bapanya berada di rumah, termasuk membantu keperluan dan urusan persekolahannya.

Walaubagaimanapun, Malianah berkata, layanan berkenaan didakwa berubah apabila bapanya keluar bekerja sebagai pemandu di Sabah Oil & Gas Kimanis untuk beberapa hari.

“Sepanjang masa saya tinggal bersama ibu tiri, dia pandai berpura-pura. Apabila bapa saya ada di rumah, dia akan melayan saya dengan baik.

“Tetapi apabila bapa saya keluar bekerja, sikapnya berubah dan tidak menyukai saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Dalam pada itu, Malianah turut mendakwa, ketika bapanya tiada di rumah, dia terpaksa melakukan kerja rumah termasuk memasak, membasuh pakaian harian dan pakaian seragam sekolah di samping turut menyediakan sendiri kelengkapan persekolahannya.

Selain itu, dia turut mendakwa sering menerima kata-kata kesat daripada ibu tirinya sehingga mengalami tekanan emosi.

“Apabila bapa tiada di rumah kerana bekerja, ibu tiri akan menyuruh saya tidur di dapur berhadapan tandas, walaupun rumah itu mempunyai sebuah lagi bilik tidur yang kosong,” katanya.

Menurut Malianah, ketika bapanya berada di rumah, dia tidur di ruang tamu beralaskan tilam nipis.

Mengulas lanjut, dia menjelaskan dirinya mula mengenali Noraidah pada tahun 2011 selepas bapanya memaklumkan akan berkahwin dengan wanita itu.

“Bapa saya memberitahu bahawa ibu tiri saya belum pernah berkahwin, tetapi bersedia menerima kami sebagai anaknya dan mahu menjaga kami,” katanya.

Malianah berkata, Zara Qairina dilahirkan pada 2013 selepas dia tidak lagi tinggal bersama bapa dan ibu tirinya, selain tidak pernah bertemu atau berhubung dengan adik tirinya itu.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan Noraidah adalah melalui Facebook pada 2019 ketika bertanyakan mengenai keberadaan bapanya, sebelum diberikan nombor telefon lelaki itu.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia bertempat di Hospital Queen Elizabeth di sini pada keesokan harinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN