KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) bagi memastikan graduan, tenaga kerja dan industri lebih bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan.
Pelbagai kementerian dalam kenyataan bersama berkata, landskap pekerjaan kini semakin dipengaruhi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, teknologi generasi baharu dan ekonomi hijau.
Menurut kenyataan itU, C&M FSF menghubungkan keperluan industri dengan pendidikan, pembangunan kemahiran serta peluang kerjaya masa hadapan.
“C&M FSF diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rujukan strategik pembangunan bakat sektor komunikasi dan multimedia bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menyelaras keperluan industri, pendidikan serta pembangunan kemahiran.
“Inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang antara keperluan industri dengan pembangunan kemahiran dan pendidikan, supaya graduan serta tenaga kerja lebih bersedia menghadapi pekerjaan masa hadapan,” katanya.
C&M FSF merupakan kerangka rujukan nasional untuk memandu pembangunan bakat dalam sektor komunikasi dan multimedia bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Berasaskan dapatan Impact Study of Artificial Intelligence, Digital and Green Economy on the Malaysian Workforce yang dilaksanakan bersama TalentCorp Malaysia, kerangka itu mengenal pasti kemahiran, kompetensi dan laluan kerjaya yang diperlukan industri.
Kerajaan berkata, pendekatan whole-of-government itu menyelaraskan peranan kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi memastikan pembangunan bakat seiring perkembangan teknologi serta keperluan ekonomi masa hadapan.
Jelasnya, bagi memastikan C&M FSF dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi keperluan sebenar industri, Future Skills Talent Council (FSTC) ditubuhkan dan diterajui KESUMA dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui MCMC.
“KPT pula akan memanfaatkan C&M FSF bagi memperkukuh kurikulum, mikrokelayakan dan kompetensi graduan, manakala program latihan serta peningkatan kemahiran akan dilaksanakan dengan lebih responsif terhadap perubahan teknologi dan pasaran pekerjaan.
“Melalui mekanisme ini, keperluan industri dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih terselaras dalam pembangunan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.
“MCMC turut menerajui pembangunan kerangka dan menyelaras pelaksanaan FSTC bagi memastikan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN











