ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah memeriksa 11 stesen minyak di beberapa daerah susulan aduan pengguna berhubung dakwaan petrol bercampur air yang didakwa menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan melibatkan empat stesen minyak di daerah ini, Kubang Pasu (dua), Sungai Petani (dua) dan Kulim (tiga) yang membabitkan petrol RON95.
“Pemeriksaan awal melalui kaedah pengukuran paras bahan api secara manual (manual dipping) serta semakan bacaan sistem Automatic Tank Gauge (ATG) mendapati tiada petunjuk kehadiran air dalam tangki simpanan bahan api yang diperiksa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, dapatan itu merupakan hasil pemeriksaan awal dan belum boleh dianggap sebagai keputusan muktamad berhubung dakwaan petrol bercampur air.
“KPDN turut mengambil sampel bahan api daripada tangki dan pam yang terlibat untuk dikemukakan kepada Jabatan Kimia bagi tujuan analisis lanjut. Pada masa sama, pengusaha stesen minyak turut mengambil tindakan menghantar sampel bahan api berkaitan ke makmal syarikat minyak untuk analisis lanjut.
“KPDN tidak membuat sebarang kesimpulan bahawa bahan api berkenaan bercampur dengan air sehingga keputusan analisis sampel diperoleh dan siasatan lanjut selesai dijalankan,” katanya.
Ujar beliau, pihaknya akan meneliti keputusan analisis serta keseluruhan hasil siasatan sebelum menentukan tindakan lanjut.
Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan jika hasil siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran.
“KPDN Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkan aduan rasmi kepada KPDN menerusi WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar EzADU KPDN. – UTUSAN











