PETALING JAYA: Kegiatan sindiket mengumpul minyak masak peket dalam skala besar sebelum dijual semula kononnya sebagai minyak masak terpakai terbongkar selepas sebuah premis di Jalan Klang Lama diserbu semalam.
Serbuan Op Tiris 3.0 dijalankan sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama KPDN Putrajaya hasil maklumat dan risikan.
Operasi bermula pada pukul 12.30 tengah malam itu berjaya menahan lima individu membabitkan tiga warga asing dan dua rakyat tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, siasatan awal mendapati premis disyaki menjalankan aktiviti menggunting peket minyak masak subsidi dan dikumpulkan ke dalam satu tong besar.
“Minyak masak subsidi itu kemudian dipindahkan ke dalam tong Intermediate Bulk Container (IBC) sebelum dijual ke pihak industri sebagai minyak terpakai.
“Minyak masak peket ini di pasaran berharga sekitar RM2.50, namun minyak masak terpakai bernilai lebih RM3 dan perbezaan harga itu diambil kesempatan oleh sindiket untuk mendapat untung,” katanya di lokasi serbuan semalam.
Katanya, dalam serbuan itu, KPDN merampas kira-kira 12,000 kilogram (kg) minyak masak dianggarkan bernilai RM30,000 selain sitaan dua lori bersaiz lima tan.
Jelasnya, peranan tiga lelaki warga asing terbabit adalah menggunting setiap peket minyak masak yang diperoleh dalam kuantiti besar dari pihak pembungkus di Negeri Sembilan, Selangor serta Kuala Lumpur.
Katanya lagi, dua warga tempatan pula memainkan peranan membawa minyak masak yang telah diisi di dalam tong IBC ke pihak industri.
“Plastik minyak masak peket ini dipercayai dibawa ke satu kawasan di Johor untuk dilupuskan kemungkinan mahu elak dikesan,” ujarnya.
Kata Mohd Shahran, sindiket ini dipercayai aktif sejak dua tahun lalu.
“KPDN akan siasat siapa pembekal minyak masak paket kepada sindiket ini dan tidak tolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan,” katanya.
Jelasnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Sementara itu, tinjauan media di lokasi serbuan mendapati terdapat timbunan kotak berisi minyak masak peket yang dipercayai sedang menunggu proses pemindahan ke dalam tong.
Semasa serbuan, pekerja warga Bangladesh yang disyaki digajikan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan sedang melakukan kerja menggunting plastik minyak masak peket.
Pemandu lori warga tempatan turut ditahan tidak lama kemudian selepas serbuan ketika pulang menghantar bekalan minyak masak terbabit. – UTUSAN










