KUALA TERENGGANU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) berharap pembentangan Belanjawan 2027 memberi keutamaan lebih menyeluruh terhadap kesejahteraan dan perlindungan pengguna.
Perkara itu termasuklah menangani kos sara hidup, peluang pekerjaan, keselamatan transaksi digital serta isu keselamatan murid.
Naib Presiden Kebangsaan (Timur) MTPN, Datuk Mohd. Faiz Zulkifli berkata, cabaran yang dihadapi rakyat ketika ini tidak lagi terhad kepada kenaikan harga barangan, sebaliknya turut melibatkan kuasa beli, kestabilan ekonomi isi rumah dan kesejahteraan sosial.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan dasar dan peruntukan yang diumumkan bukan sahaja memberi bantuan jangka pendek kepada rakyat malah mampu meningkatkan daya tahan kewangan serta melindungi kepentingan pengguna dalam jangka panjang.
Katanya, isu kos sara hidup perlu terus menjadi antara keutamaan kerana peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan harian memberi kesan langsung kepada kemampuan rakyat.
“MTPN berharap selain bantuan bersasar kepada golongan yang memerlukannya, kerajaan terus memperkukuh pemantauan harga, kestabilan rantaian bekalan serta penguatkuasaan terhadap amalan perniagaan yang tidak adil.
“Penyelesaian jangka panjang juga perlu memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan dan daya tahan kewangan isi rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.











