PTPTN perkasa budaya menabung untuk pendidikan anak-anak

PTPTN perkasa budaya menabung untuk pendidikan anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkasa budaya menabung dalam kalangan masyarakat sebagai persediaan awal bagi membiayai pendidikan anak-anak menerusi Simpan SSPN.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, usaha itu diperkukuh menerusi Sambutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 yang berlangsung dari 25 September hingga 1 November 2026.

“BMS 2026 bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi wadah untuk menyemarakkan budaya menabung sebagai persediaan awal pendidikan anak-anak.

“Melalui Simpan SSPN, PTPTN terus membantu ibu bapa merancang pendidikan anak-anak dengan lebih teratur dan berhemah,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan BMS 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Mydin Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Sambutan BMS 2026 yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya sejak 2018 itu turut berlangsung serentak di 12 negeri lain di seluruh negara.

Menurut beliau, usaha itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tabungan pendidikan perlu dimulakan lebih awal sebagai persediaan menghadapi keperluan pendidikan pada masa depan.

Katanya, tahun ini, BMS mengetengahkan tema “Di Bawah Lautan” (Under the Sea) dengan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda” bagi menggalakkan ibu bapa menjadikan amalan menabung sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga.

“Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang sambutan itu termasuk Pertandingan Mewarna, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Happy Hour serta promosi Simpan SSPN.

“Orang ramai turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai Simpan SSPN menerusi kaunter PTPTN, selain menyertai aktiviti dan program yang disediakan,” ujarnya.

Simpan SSPN menawarkan beberapa manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit dan Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak.

Produk itu turut menawarkan kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

Selain itu, pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menggalakkan masyarakat meningkatkan tabungan menerusi Simpan SSPN, termasuk Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2026.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menabung melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN