PETALING JAYA: DAP tidak pernah melakukan sebarang perbuatan ‘tikam belakang’ mahupun mengkhianati prinsip perlembagaan demi kepentingan politik sempit.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dengan sengaja cuba mengalihkan isu asal berhubung kemelut perlembagaan di Negeri Sembilan ketika ini.
Beliau berkata, DAP mempunyai rekod yang konsisten iaitu sentiasa menjunjung tinggi institusi diraja dan Perlembagaan Persekutuan sejak dari awal penubuhannya.
Katanya, isu pokok yang perlu diberi tumpuan adalah tindakan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang bertindak membelakangkan sumpah taat setia mereka sendiri.
“Saudara Fadhli, Jangan tukar ‘tiang gol’. Isu pokok di sini ialah 10 Exco tersebut mengangkat sumpah taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 7 Ogos lalu.
“Dan kemudian membuat keputusan untuk mengesahkan Proklamasi Menurunkan Takhta Tuanku pada 16 September 2026.
“Kalau tidak mengiktiraf kedudukan Tuanku, mengapa sanggup Angkat Sumpah Taat Setia selepas PRN untuk membentuk Kerajaan Negeri? Ini perbuatan tikam belakang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahmad Fadhli sebelum ini mempersoalkan sama ada Anthony Loke akan menerima sekiranya Exco di negeri lain dipecat daripada jawatan mereka oleh Raja tanpa kelulusan eksekutif.
Ahmad Fadhli berkata, cara peraturan ini ditafsirkan mestilah konsisten, dan bukan hanya dibaca dalam konteks di Negeri Sembilan atau apabila DAP tidak menyukai kerajaan negeri berkenaan.
Anthony Loke berkata, DAP tidak pernah melakukan perbuatan yang mengompromi prinsip taat setia kepada institusi Raja Berperlembagaan dalam mana-mana keadaan sekalipun.
Anthony Loke menegaskan bahawa DAP tidak akan sekali-kali mengompromi prinsip taat setia kepada institusi Raja Berperlembagaan dalam mana-mana keadaan sekalipun.
Katanya, keutamaan parti adalah untuk sentiasa mematuhi garis panduan perlembagaan yang ditetapkan.
“DAP tak pernah buat benda macam ini. DAP akan sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya. – UTUSAN











