GEORGE TOWN : Sebanyak 655 buah premis makanan di seluruh Pulau Pinang telah menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) sejak program berkenaan diperkenalkan pada 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, pengiktirafan itu diberi berdasarkan kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya berkaitan tahap kebersihan serta keselamatan makanan.
“Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen pengusaha premis dalam memastikan kebersihan dan keselamatan makanan diberi keutamaan, khususnya kerana premis makanan merupakan tempat penyediaan makanan yang dinikmati masyarakat setiap hari.
“justeru, kita berharap agar lebih banyak premis makanan tampil secara sukarela untuk memohon pengiktirafan BeSS sebagai tanda komitmen bersama dalam menjaga kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan program ‘Premis Bersih, Bebas Asap’ (BeBAs) 2026 di Medan Selera Food Bayana, hari ini.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, pengiktirafan BeSS bagaimanapun boleh ditarik balik sekiranya premis berkenaan gagal mengekalkan tahap kebersihan seperti yang ditetapkan.
Katanya, terdapat kes pengiktirafan yang ditarik balik sebelum ini, namun, jumlahnya tidak banyak berikutan komitmen pengusaha untuk mengekalkan standard ditetapkan.
“Lazimnya, pemarkahan yang diberikan adalah bagi menilai tahap kebersihan. Justeru, jika berlaku pengurangan markah daripada segi kualiti atau tahap kebersihan, maka, pengiktirafan itu boleh ditarik balik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, program BeBAs turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan agar premis makanan kekal bebas daripada asap rokok menerusi pemantauan pematuhan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Katanya, sehingga 30 September lalu, sebanyak 2,701 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan merokok di premis makanan, manakala 254 kompaun dikenakan terhadap pemilik premis kerana tidak mempamerkan tanda amaran larangan merokok serta menyediakan kemudahan merokok.
“Terbaharu, Operasi Selamat Paru-paru (PaPa) yang dilaksanakan pada 3 Oktober lalu di seluruh Pulau Pinang merekodkan 57 kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 852.
“Dalam hal ini, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi kerana usaha ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pengusaha premis makanan serta masyarakat,” katanya.-UTUSAN











