Malaysia perlu jadi ‘Sang Kancil’ tangani tekanan global - Khazanah

Malaysia perlu jadi ‘Sang Kancil’ tangani tekanan global – Khazanah

AMIRUL Feisal Wan Zahir ketika menyampaikan ucapan aluan bersempena penganjuran Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 di Mandarin Oriental hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran mengembalikan kelincahan serta kebijaksanaan strategi ‘Sang Kancil’ bagi membina ketahanan ekonomi negara dalam mengendalikan gelombang tekanan dan persaingan kuasa pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, saiz ekonomi negara yang kecil mengehadkan keupayaan untuk menyerap sebarang kejutan luaran secara bersendirian, berbanding negara kuasa besar yang mempunyai pasaran domestik luas serta modal awam mendalam.

Justeru, beliau berkata, keupayaan untuk kekal terhubung dengan pasaran antarabangsa serta memperluas hubungan ekonomi menjadi kunci utama buat negara pada masa kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malaysia perlu menjadi Sang Kancil semula: sebuah negara perdagangan yang bijak dan saling terhubung, yang daya tahannya datang daripada keluasan, sama ada lebih banyak sumber modal, destinasi eksport atau hubungan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan bersempena penganjuran Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 di sini hari ini.

Mengulas mengenai dinamik pasaran semasa, Amirul berkata, landskap perniagaan dunia hari ini dipengaruhi oleh perebutan tiga teras strategik iaitu tenaga, teknologi dan keselamatan.

Menyentuh aspek tenaga, beliau berkata, isu geopolitik seperti di Selat Hormuz dan konflik di Iran yang mencetuskan kenaikan harga tenaga serta tekanan inflasi global, seterusnya memaksa bank-bank pusat menaikkan kadar faedah serta menjadikan modal pelaburan semakin mahal.

Bagi sektor teknologi pula, pelaburan perbelanjaan modal bagi kecerdasan buatan (AI) secara global telah mencecah US$770 bilion (kira-kira RM3.25 trilion), sekali gus memacu indeks saham utama dunia ke paras tertinggi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar peranan Malaysia yang kini menjadi hab pembinaan infrastruktur digital serantau tidak terhad kepada penyedia kemudahan asas semata-mata, sebaliknya perlu meraih nilai ekonomi yang lebih bermakna.

“Bagi Malaysia yang menjadi tuan rumah kepada perkembangan ini, persoalannya ialah sama ada kita hanya membekalkan tanah, air dan elektrik, atau turut memegang sebahagian daripada kuasa ekonomi yang terhasil daripadanya,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, persaingan teknologi perlu diteliti bersama elemen keselamatan, terutamanya apabila pelbagai negara mula membayar premium tinggi demi mengurangkan kebergantungan luar dalam sektor pertahanan, bekalan makanan serta tenaga kerja.

Dalam pada itu, ketiga-tiga persaingan berkenaan turut dikaitkan dengan perebutan modal antarabangsa serta pengaruh penyedia indeks dalam era pelaburan pasif masa kini.

Amirul turut memetik kajian Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang mendapati sebanyak 95 peratus projek rintis AI perusahaan masih belum menunjukkan pulangan yang boleh diukur, meskipun pelaburan modal secara masif terus dicurahkan.

“Bagi mengimbangi kebolehan negara menghadapi kejutan luaran, Khazanah kini memberi tumpuan khusus kepada pembangunan syarikat peringkat pertengahan (mid-tier) tempatan menerusi inisiatif Dana Impak.

“Langkah berkenaan kritikal memandangkan sektor syarikat pertengahan menyumbang kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan 16 peratus peluang pekerjaan, biarpun hanya merangkumi dua peratus daripada keseluruhan firma tempatan,” katanya.

Tambahnya, sebagai dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah sentiasa memikul tanggungjawab untuk menguruskan amanah modal secara saksama, telus dan berintergriti demi kemakmuran ekonomi jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN