SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Mohd. Nasiruddin Mohd. Ali memohon pasport daripada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini untuk ke Mekah.
Tertuduh yang disabit dengan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram itu dilapor perlu ke sana bagi memberi kebenaran isteri keempatnya, Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, menjalani pembedahan (caesarean) bagi melahirkan anak mereka di Hospital Muhammad Saleh Basharahil.
Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin berkata, bagi tujuan itu beliau mengemukakan afidavit yang turut dilampirkan sijil pernikahan mereka serta laporan perubatan daripada hospital berkenaan.
Beliau berkata isteri tertuduh masih berada di Mekah selepas dia bersama Mohd. Nasiruddin, 67, bertolak ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji pada 4 Mei lalu.
“Permohonan dalam Lampiran 1 daripada anak guam, serta ada dua afidavit bagi menyokong permohonan itu. Anak guam ingin mendapatkan semula pasport untuk terbang ke Mekah bagi melawat isteri yang akan melahirkan anak di jangka antara 8 hingga 9 Oktober ini.
“Anak guam belum membeli tiket penerbangan, namun akan berbuat demikian sebaik sahaja mendapat kebenaran mahkamah dan seterusnya merujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia bagi urusan penangguhan sekatan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pihaknya tidak mempunyai bantahan, namun meletakkan syarat iaitu penyerahan semula pasport kepada mahkamah pada 10 November.
Hakim Datin Fatimah Zahari kemudian membenarkan pasport diserahkan semula kepada Mohd. Nasiruddin dan mengarahkan ia dikembalikan sebelum atau pada tarikh dinyatakan.
Terdahulu, pada prosiding pengurusan kes di mahkamah sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bagi berhubung pertuduhan terhadap bekas pengurusan kanan GISBH.
Representasi itu membabitkan 331 pertuduhan yang dihadapi mereka berhubung pengubahan wang haram melibatkan lebih RM38.1 juta.
Berdasarkan pecahan pertuduhan, Mohd. Nasiruddin didakwa sebanyak 77 pertuduhan, bekas akauntan, Hamimah Yakub, 74, (95); sementara Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 45, dan suaminya Md. Khushairi Osman ,55, masing-masing berdepan 95 dan 91 pertuduhan.
Pertuduhan bagi kesemua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – UTUSAN











