KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tuntas dengan meneliti semua aspek pengurusan dan keselamatan di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, susulan kematian pelajar perempuan tingkatan empat di premis berkenaan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia termasuk kawalan keluar masuk, rekod rondaan, sistem kamera litar tertutup (CCTV), pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian.
Beliau berkata, sekiranya terdapat pelanggaran terhadap skop kontrak, tindakan boleh diambil berdasarkan terma ditetapkan, termasuk notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak.
“Saya telah mengarahkan aspek pengurusan dan keselamatan di sekolah berkenaan diperiksa secara menyeluruh.
“Syarikat kawalan keselamatan yang dilantik KPM mempunyai skop kerja dan obligasi kontrak yang jelas, termasuk kawalan keluar masuk, rondaan di kawasan yang ditetapkan, serta pematuhan kepada jadual dan tugasan ini secara keseluruhan.
“Bagi syarikat kawalan keselamatan sekolah ini, semakan sedang dibuat terhadap rekod rondaan dan pelaksanaan tugas pada hari kejadian. Kalau ada pihak yang dibayar untuk menjaga keselamatan sekolah tetapi gagal menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan, kita akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Disoal jika terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi SOP yang dikesan berdasarkan siasatan awal, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM.
“Siasatan kita masih berlangsung. Jadi selepas ini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan siasatan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan mengejut atau spot check terhadap barangan peribadi pelajar bagi memastikan mereka tidak membawa barangan berbahaya sememangnya dilaksanakan secara berkala di semua sekolah.
“Spot check ini berlaku secara berkala dan ia memang dilaksanakan di semua sekolah secara berkala. Saya ingat itu dalam siasatan PDRM, kita serah pada PDRM,” katanya.
Beliau pada masa sama menjelaskan, KPM sedang melaksanakan 11 langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan di sekolah yang diumumkan sejak Oktober, tahun lalu.
“Bagi pemasangan CCTV, Fasa 1 membabitkan peruntukan RM3 juta untuk 200 sekolah berasrama dan siap sepenuhnya pada November 2025.
“Fasa kedua pula membabitkan peruntukan RM5 juta bagi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dan siap sepenuhnya pada September lalu,” tambahnya.
Bagi Fasa 3, Fadhlina berkata, sebanyak RM15 juta diperuntukkan pada 2027 untuk pemasangan CCTV di 1,000 sekolah.
Beliau berkata, pelaksanaan pemasangan CCTV itu adalah sebahagian daripada 11 langkah tambahan yang diperkenalkan KPM bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah.
“Langkah berkenaan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan keperluan sekolah, dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh aspek keselamatan warga sekolah,” ujarnya. – UTUSAN











