KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 menjadi urusan penting yang akan dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas bermula hari ini dan akan berlangsung selama 37 hari sehingga 8 Disember depan.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor berkata, pembentangan Belanjawan 2027 yang dijadualkan Jumaat ini dijangka berlangsung pada waktu yang telah dipinda, dengan pemakluman mengenainya sudah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen.
“Sehubungan itu, bagi kemudahan ahli-ahli yang berhormat yang beragama Islam, solat Jumaat akan diadakan di dalam Banquet Parlimen Malaysia,” katanya ketika membuat pemasyhuran sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya lagi, urusan Dewan Rakyat pada minggu ini dijangka memberi tumpuan kepada penerangan mengenai penyata oleh pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pilihan, selain perbahasan usul mengenai Laporan Ketua Audit Negara dan Rang Undang-Undang.
Dalam pada itu juga, beliau memaklumkan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
“Sehubungan itu, Majlis Perkhidmatan Parlimen akan ditubuhkan, yang mana majlis ini bertanggungjawab bagi perkara yang berhubungan dengan perkhidmatan Parlimen,” katanya.
Ramli turut mengingatkan Ahli Parlimen mengenai pemeriksaan kesihatan yang perlu dijalankan dan meminta mereka yang masih belum melaksanakannya supaya berbuat demikian sebelum 30 Oktober ini.
Katanya, pemeriksaan kesihatan itu penting bagi membolehkan Ahli Parlimen mengetahui tahap kesihatan masing-masing pada peringkat awal, sekali gus membolehkan langkah-langkah pencegahan segera diambil.
Pada masa sama, beliau mengingatkan Ahli Parlimen serta anggota pentadbiran supaya mematuhi masa yang ditetapkan ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawapan Lisan.
Katanya, pematuhan tempoh masa itu penting bagi membolehkan lebih banyak pertanyaan dapat dijawab dalam Dewan Rakyat.
Sebelum meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat, Ramli turut merakamkan ucapan takziah bagi pihak Parlimen Malaysia kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isteri beliau, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. – UTUSAN











