Elak perpecahan, utamakan kestabilan negara

Elak perpecahan, utamakan kestabilan negara

JOHARI Abdul Ghani menerima cenderahati daripada kepimpinan tertinggi Raintree Club, diiringi Barry Chong Kim Teck (kanan), selepas Majlis Penutup Raintree International Invitational 2026 di Raintree Club, Ampang Hilir, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti politik perlu mengutamakan kestabilan negara dan tidak menjadikan perbezaan politik sebagai punca pergaduhan sehingga menjejaskan ekonomi Malaysia, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, semua parti politik ketika ini sedang mencari ‘kawan’ untuk menghadapi PRN Melaka yang masih belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, dalam meraikan amalan demokrasi terbuka, kepentingan kestabilan negara perlu terus menjadi keutamaan semua parti politik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini ialah politik, bukan nak bergaduh. Jika nak berkawan dengan parti lain, kemudian esok dengan parti lain dan kembali semula kepada parti itu, itulah politik.

“Yang penting jangan bergaduh kerana perkara paling penting, negara ini mesti stabil.

“Apabila negara stabil, ekonomi boleh bergerak, pelabur boleh datang, yang sudah datang tidak mahu balik dan yang belum datang akan datang kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang matang dari segi politik,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Tenis Jemputan Raintree di Kelab Raintree Kuala Lumpur, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden Raintree Club Kuala Lumpur, Barry Chong Kim Teck.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, kematangan politik penting bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

“Walaupun kita tukar Perdana Menteri tiga kali, tetapi ia masih okay. Kita mahukan kestabilan tersebut.

“Kamu boleh buat apa yang kamu mahu, nak tuduh orang tidak betul, kamu jumpa di mahkamah. Tetapi kita kena kekalkan demokrasi ini,” katanya.

Johari berharap penganjuran kejohanan tenis seperti dianjurkan Kelab Raintree diteruskan setiap tahun dengan penglibatan lebih ramai golongan muda kerana penglibatan mereka dalam aktiviti kelab bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah membuka ruang untuk mengambil alih kepimpinan kelab pada masa depan.

“Saya datang untuk memberi sokongan dan harapan selepas ini perkara ini tidak terhenti.

“Setiap tahun patut dianjurkan kejohanan seperti ini, terutama jika boleh membawa semua generasi muda datang dan berada dalam kelab serta menikmati kemudahan di sini.

“Diharapkan suatu hari nanti mereka akan mengambil alih kepimpinan kelab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN