PORTO: Tiada perpecahan dalam skuad Portugal selepas pemergian mengejut Cristiano Ronaldo dari kem latihan, biarpun situasi itu menimbulkan persoalan mengenai masa depannya bersama pasukan kebangsaan.
Ronaldo, 41, yang juga penjaring terbanyak Portugal, meninggalkan kem di Copenhagen pada Rabu, tidak lama selepas pengendali Jorge Jesus mengakui wujud ketegangan antara mereka.
Penyerang Al-Nassr itu meninggalkan kem sehari sebelum Portugal menentang Denmark dalam aksi peringkat kumpulan Liga Negara-Negara, dengan skuad kendalian Jesus kemudian meraih kemenangan 4-2.
Ronaldo menerusi Instagram berkata, dia membuat keputusan itu selepas sidang media Jesus dan perbincangan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, Pedro Proenca.
“Saya sudah bercakap dengannya dan apa yang saya katakan kepadanya akan saya ulang di sini: perkara paling penting ialah, apa saja yang berlaku, Ronaldo tidak akan pernah berhenti menjadi simbol terbesar pasukan kebangsaan kita, bola sepak kita dan negara ini.
“Berdasarkan apa yang sudah dilakukannya bukan sahaja di Portugal, tetapi di seluruh dunia, dia mempunyai tempat bukan hanya dalam kalangan pemain terhebat sepanjang zaman, tetapi juga di hati semua rakyat Portugal.
“Perkara paling penting ialah kita berhenti mencetuskan masalah, tiada perpecahan dalam pasukan kebangsaan. Kami adalah satu pasukan dan akan kekal begitu, walaupun terdapat pelbagai bunyi bising dari luar,” kata pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes.
Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan Jesus dan Proenca bergegas ke lapangan terbang Copenhagen dalam usaha yang tidak berjaya untuk memujuk Ronaldo supaya tidak meninggalkan skuad.
“Perkara paling penting ialah semuanya berakhir dengan baik untuk kedua-dua pihak. Kami langsung tidak terbabit dalam perkara ini; kami sedar apa yang anda katakan dan apa yang kami lihat. Kami banyak menghabiskan masa di bilik pemain bermain kad.
“Kami berada di luar kontroversi ini, tetapi saya berharap negara ini tidak berpecah, tidak memihak kepada mana-mana pihak dan menghormati semua pihak,” kata Fernandes.-AGENSI











