PETALING JAYA: Sebuah bilik asrama di Mahallah Ali, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak, di sini terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.41 tengah hari itu, bilik di tingkat satu bangunan tiga tingkat berkenaan terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima maklumat sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba pada pukul 1 tengah hari.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah bilik asrama berkeluasan 10 x 10 kaki.
“ Kebakaran berjaya dipadamkan anggota bomba yang bertugas dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Water Tanker (WT) dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN











