KUALA LUMPUR: Seorang warden asrama sebuah sekolah menengah di Perlis dilepas dan dibebaskan daripada tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun, pada 2019.
Mahkamah Sesyen Kangar memutuskan demikian terhadap lelaki berkenaan selepas berpuas hati keterangan yang dikemukakan oleh tertuduh dan saksi-saksi pembelaan mempunyai merit.
Warden yang juga guru di sekolah tersebut menafikan perbuatan terhadap mangsa, sebaliknya menegaskan pelajar itu mereka-reka cerita dan membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati kerana tidak diberikan telefon bimbit yang dijanjikan kepadanya.
Mangsa ketika itu merupakan pelajar tingkatan dua yang bersekolah dan tinggal di asrama tersebut dan semua kejadian berlaku di rumah warden asrama.
Pembelaan tertuduh juga menyatakan mangsa mempunyai motif untuk mengenakannya selepas menerima maklumat bahawa pelajar berkenaan pernah membuat gangguan seksual terhadap rakan lain.
Sehubungan itu, Hakim Musyiri Peet berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Warden itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa tersebut di antara Oktober 2019 dan Mac 2020 pada waktu-waktu berbeza di antara 12 tengah malam dan 3 petang di rumah guru, kuarters warden asrama sekolah berkenaan di Arau.
Guru itu dalam pembelaannya juga menyatakan, pelajar berkenaan tidak berpuas hati selepas tertuduh membuat laporan kepada pihak pentadbiran sekolah selepas menerima aduan bahawa mangsa membuat gangguan seksual terhadap dua rakan sekolahnya.
“Salah seorang remaja yang dikatakan mangsa gangguan seksual pelajar berkenaan mengesahkan dia (mangsa dalam pertuduhan) pernah melakukan onani terhadapnya,” demikian menurut hakim berkenaan dalam penghakiman bertulis bertarikh 14 Jun yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Musyiri selanjutnya berpendirian, mahkamah telah meneliti keterangan saksi-saksi pembelaan terdiri daripada ketua guru disiplin sekolah serta laporan polis guru berkenaan berhubung dakwaan mangsa melakukan gangguan seksual terhadap seorang lagi rakan pelajar.
Ujar hakim, beliau menerima keterangan tertuduh bahawa dia difitnah atas alasan ketika kejadian didakwa berlaku, pintu asrama dikunci setiap pukul 11 malam dan warden bertugas akan membuat rondaan bagi memastikan pelajar berada di asrama pada waktu malam.
“Tiga saksi pembelaan yang merupakan rakan sekerja tertuduh bukan pihak-pihak berkepentingan dan tiada bukti menunjukkan mereka berpakat untuk mengada-ngadakan cerita.
“Salah seorang mangsa gangguan seksual pelajar itu juga bukan saksi berkepentingan kerana dia sendiri mengaku tidak berdendam dengan mangsa, malah pernah melawat pelajar itu ketika ditimpa kemalangan pada 2022,” demikian menurut hakim berkenaan. – UTUSAN










