PETALING JAYA: Pengetua dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diminta supaya tidak menyimpan atau menyembunyikan masalah yang dihadapi sekolah, sebaliknya menyampaikannya secara terus untuk diusahakan penyelesaiannya.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkara itu penting bagi memastikan masalah sekolah dapat dikenal pasti dan dibawa kepada pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
Katanya, beliau sengaja mengadakan pertemuan berkenaan bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi sekolah yang mempunyai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Yang penting, jangan simpan atau sorok. Kalau sekolah dalam kawasan sendiri pun kita tak tahu masalahnya, susahlah.
“Seorang demi seorang saya minta mereka cerita apa masalah yang sedang dihadapi dan apa lagi yang boleh kita bantu untuk anak-anak,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan secara bersemuka bersama pengetua dan pengerusi PIBG daripada 12 sekolah dalam Parlimen Nibong Tebal pagi tadi.
Menurut Fadhlina, terdapat perkara yang boleh diusahakan melalui Pusat Khidmat, manakala masalah tertentu perlu dibawa ke peringkat Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam pertemuan itu, Fadhlina turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada PIBG setiap sekolah bagi melaksanakan program bersama calon SPM.
Beliau berkata, keseluruhan peruntukan bagi 12 sekolah berkenaan berjumlah RM60,000.
“Gunakan sebaiknya untuk anak-anak kita. Peperiksaan makin dekat, kita bantu mana yang boleh supaya mereka masuk ke dewan peperiksaan nanti dengan persediaan yang lebih baik.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pengetua dan pengerusi PIBG yang bercakap terus terang mengenai masalah yang dihadapi sekolah. Saya dah dengar, sekarang bahagian saya pula untuk usahakan,” katanya. – UTUSAN











