Lapan tahun perjuangan, Hanan terima RM12.19 juta

Lapan tahun perjuangan, Hanan terima RM12.19 juta

NORAISAH Ali (empat dari kanan) bersama peguam mendukung Hanan Qaireen Mohd. Sukri selepas mendapat keputusan di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tujuh tahun menanti cahaya mata, kegembiraan seorang ibu bertukar menjadi perjuangan panjang apabila anak yang dilahirkannya berdepan kerosakan otak akibat kecuaian ketika prosedur kelahiran.

Itu kisah sedih dilalui Noraisah Ali, 42, sejak melahirkan anak keempatnya, Hanan Qaireen Mohd. Sukri pada 18 Februari 2018.

Selepas hampir lapan tahun membesarkan Hanan yang mengalami cerebral palsy spastik kuadriplegia dan memerlukan penjagaan serta rawatan sepanjang hayat, perjuangan Noraisah dan suaminya, Mohd. Sukri Mahat, 46, akhirnya tamat apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam memutuskan pemberian ganti rugi berjumlah RM12.19 juta kepada anak mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Noraisah berkata, keputusan itu disambut penuh kesyukuran kerana pampasan berkenaan akan menjamin keperluan Hanan, termasuk kos rawatan, terapi dan peralatan khas yang perlu digunakan sepanjang hidupnya.

“Saya pun macam tidak sangka dan tidak duga dapat amaun macam itu sekali. Saya bersyukur sangat sebab untuk keperluan anak cerebral palsy ini, banyak peralatan yang diperlukan dan semuanya mahal.

“Hanan kini masih menjalani pelbagai terapi dan memerlukan peralatan seperti kasut AFO, standing frame, reverse walker serta kerusi roda yang perlu ditukar mengikut tumbesaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Noraisah berkata, perjalanan membesarkan Hanan bukan sesuatu yang mudah apabila anaknya tidak mampu bergerak seperti kanak-kanak lain, selain mengalami sawan dan scoliosis atau tulang belakang bengkok.

Katanya, Hanan juga masih belum boleh bercakap dengan baik dan banyak bergantung kepada keluarga untuk melakukan aktiviti harian.

“Peralatan budak cerebral palsy ini semua boleh dikatakan mahal. Anak makin tinggi, peralatan pun kena tukar. Itu belum termasuk terapi dan keperluan lain,” ujarnya.

Jelasnya, harga kasut AFO mencecah lebih RM2,000 manakala standing frame hampir RM2,000 dan reverse walker pula melebihi RM1,000.

Menurutnya, Hanan mengalami sawan sejak lahir hingga menyebabkan dia perlu berjaga pada waktu malam ketika anaknya berusia antara lima hingga enam tahun.

Noraisah berkata, sepanjang tempoh mengandungkan Hanan, dia dalam keadaan baik kecuali mengalami kencing manis yang dikawal melalui pemakanan.

Katanya, keadaan berubah selepas dimasukkan ke Hospital Melaka ketika menunggu proses kelahiran.

“Hanan kemudiannya dilahirkan melalui pembedahan dan terpaksa menerima bantuan mesin pernafasan sebelum ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) selama sembilan hari,” katanya.

Noraisah berkata, ketika itu dia hanya mampu berdoa supaya anak yang dinanti selama tujuh tahun itu terus hidup.

“Saya kata, janji anak saya hidup, saya dah syukur. Apa yang terjadi kepada saya, saya reda sebab nak dapatkan Hanan ini bukan sekejap, tujuh tahun saya menanti,” katanya.

Selepas keperluan Hanan semakin meningkat apabila membesar, Noraisah dan suami mengambil keputusan memfailkan saman pada 30 Oktober 2023.

Katanya, tindakan itu bukan kerana dendam, sebaliknya bagi memastikan keperluan anak mereka pada masa hadapan terjamin.

Dalam kes itu, mereka menamakan 11 defendan termasuk Kerajaan Malaysia, pengarah hospital dan sembilan doktor.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim menganugerahkan RM10.77 juta sebagai ganti rugi am masa hadapan bagi kos dan perbelanjaan yang akan terus ditanggung keluarga sepanjang hayat Hanan termasuk rawatan, rehabilitasi dan bantuan pelbagai disiplin.

Mahkamah turut menganugerahkan ganti rugi am RM500,000, ganti rugi khas RM441,754.83, ganti rugi teruk RM300,000 dan ganti rugi prabicara RM157,792.22, selain kos guaman dan perbelanjaan RM176,718.75 serta faedah lima peratus terhadap jumlah penghakiman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN