ANKARA: Pasukan pengkaji antarabangsa yang menjalankan siasatan terhadap formasi geologi berhampiran Gunung Ararat di Turkiye mendakwa bukti baharu mengesahkan tapak berkenaan merupakan struktur buatan manusia purba dan berkemungkinan peninggalan bahtera Nabi Nuh.
Formasi berbentuk kapal yang dikenali sebagai tapak Durupınar itu telah menjadi subjek kajian selama beberapa dekad.
Menerusi wawancara bersama Daily Mail, pasukan penyelidik mendakwa mereka kini 100 peratus mengesahkan bahawa struktur tersebut dibina oleh manusia dan bukannya
pembentukan batuan semula jadi.
Dapatan terbaharu turut mendapati tapak berkenaan tidak terdiri daripada batuan dasar padat atau batu kapur.
Pengasas Noah’s Ark Scans, Andrew Jones menyifatkan perkembangan itu sebagai titik perubahan besar yang menepis teori lama bahawa formasi tersebut hanya bongkah
batu yang terhakis akibat glasier.
Berdasarkan kitab al-Quran, bahtera Nabi Nuh dibina untuk menghadapi banjir besar yang berlaku di Bumi.
Ia dipercayai berlaku kira-kira lebih 4,000 tahun lalu. Bahtera itu mempunyai tiga tingkat bagi menyelamatkan manusia dan haiwan daripada bencana banjir besar.
Pasukan pengkaji mengesahkan bahawa imbasan radar terbaharu menunjukkan bahagian bawah struktur tersebut turut terbahagi kepada tiga bahagian utama yang dilengkapi laluan dan ruang bilik di dalamnya.
Jones, yang mengkaji tapak itu sejak 1997, memaklumkan bahan organik yang dijumpai kini sedang diuji bagi mengesan kehadiran jejak kayu yang telah reput.
Beliau turut mendedahkan insiden sewaktu proses penggerudian teras di mana mata gerudi berkecai selepas melanggar satu lapisan sangat keras, yang disyaki sebagai kayu yang telah membatu.
Meskipun komuniti saintifik dan kajian geologi terdahulu menyimpulkan formasi itu terbentuk secara semula jadi, pasukan Jones tetap yakin sampel terbaharu mereka akan membuktikan sebaliknya.
Jones tidak berselindung mengenai keyakinannya bahawa tapak berkenaan merupakan peninggalan kapal zaman purba tersebut.
“Saya percaya ini ialah Bahtera (Nabi) Nuh, dan sebab itulah saya memastikan tapak Durupınar ini menjalani ujian saintifik paling ketat,” kata Jones. – AGENSI











