10 peratus itu macam-macam boleh jadi - Amirudin

10 peratus itu macam-macam boleh jadi – Amirudin

Kerjasama PH
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pakatan Harapan (PH) tidak menaruh harapan tinggi untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan bersedia bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun pihaknya masih terbuka untuk berunding walaupun Pas mendakwa sudah mencapai 90 peratus persetujuan dalam rundingan pembahagian kerusi.

“Semalam katanya baru 90 peratus, ada lagi 10 peratus. 10 peratus itu macam-macam boleh jadi. Saya tak mahu campur urusan mereka. Biar mereka buat keputusan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita terbuka kalau ada ruang perbincangan, kita berbincang. Kalau tidak, kita juga bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan fahaman yang ada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Tuaian Anak Harapan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) (Tuah), di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerjasama Pas dan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka semakin hampir direalisasikan apabila rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu mencapai 90 peratus.

Malah, Pas bersedia menggunakan logo BN dalam pilihan raya tersebut jika langkah itu mampu membawa kepada kata putus kepada kerjasama berkenaan.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menjelaskan, pihaknya tidak menolak kemungkinan menerima kerjasama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi pilihan raya itu.

“Kita sedang melihat kebarangkalian itu dan mungkin dalam tempoh-tempoh tertentu, minggu hadapan atau satu dua minggu lagi kita akan dapat lihat. Kadang-kadang parti politik begitu, berunding, berbincang tetapi tak selesai.

“Sampailah pada hari pengumuman calon dibuat nanti barulah selesai. Itu biasa sebab sekarang suasana politik sangat cair (fleksibel) dan masing-masing sedang mencari solusi untuk mendapatkan keputusan terbaik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN