PUTRAJAYA: Lebih 200 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berkumpul dan mengadakan himpunan aman di Dataran Putra di sini, pagi tadi.
Mereka berkumpul di hadapan ‘pintu masjid’, Bangunan Perdana Putra sambil melaungkan ‘bank tipu kita’ dan memegang pelbagai sepanduk dan kain rentang memaparkan tulisan ‘bank nafikan tempat kerja selamat’, ‘bank tipu kita’, ’44 surat hantar kepada PM’ dan pelbagai lagi.
Tinjauan wartawan mendapati, kesemua mereka mula berhimpun kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum beredar pukul 12.30 tengah hari.
Menerusi ucapan oleh wakil NUBE, mereka mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan pelbagai isu yang membelenggu pekerja bank di seluruh negara.
Mereka juga mendakwa lebih 2,100 ahli sudah menghantar e-mel kepada Perdana Menteri bagi memohon rungutan mereka didengar dan diselesaikan segera.
Isu lain dibangkitkan termasuk isu Perjanjian Kolektif Ke-20 (CA20), Bantuan Perayaan, hak kesatuan, rundingan kolektif serta kebajikan pekerja B40 dan M40.
Antara lain gesaan termasuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membubarkan kartel bank yang didakwa menindas pekerja bank dalam kumpulan B40 dan M40.
Himpunan itu turut dihadiri Setiausahanya Agung J. Solomon serta barisan kepimpinannya yang lain.
Himpunan aman itu berakhir menerusi penyerahan dokumen memorandum oleh Solomon kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri.
Sebelum ini, NUBE mendakwa bank enggan mematuhi perjanjian yang menjamin Bantuan Perayaan satu bulan gaji, melengah-lengahkan penyelerasan gaji sejak tiga tahun lalu, bank enggan berunding Perjanjian Bersama Ke-20.
Pada masa sama, NUBE mendakwa bank memindahkan dan ‘outsource’ pekerjaan ahli kesatuan, menafikan latihan sewajarnya kepada pekerja bank dan mengenakan caj dan fi yang keterlaluan serta menimbulkan persoalan kepada pelanggan.
Dakwaan lain dikemukakan NUBE termasuk pengurusan tertinggi bank yang memberi ganjaran berjuta-juta ringgit kepada diri sendiri, sedangkan pekerja yang menjana keuntungan bergelut untuk meneruskan kehidupan akibat peningkatan kos sara hidup.
Mereka juga mendakwa haji seorang ketua pegawai eksekutif bank mampu mencecah sehingga RM65 juta setahun, sedangkan pekerja B40 dan M40 dibank hanya memperoleh purata RM35,000 setahun. – UTUSAN











