BUKIT MERTAJAM : Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak polis andai dipanggil memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) terhadapnya atas dakwaan salah guna kuasa.
Bagaimanapun, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, setakat ini, beliau belum dipanggil untuk berbuat demikian.
“Sebenarnya, saya sudah jawab semalam (isu laporan polis oleh NUBE). Dakwaan ini memang tidak berasas, tapi, itu hak mereka untuk lapor polis.
“Jadi, saya serah kepada polis untuk buat siasatan dan saya tak ingin memberi komen lanjut tentang isu ini kerana ia juga telah dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan. Jadi, biar mahkamah tentukan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir menyampaikan sumbangan tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 218 anggota Persatuan Bomba Sukarela Bukit Mertajam di pejabat Perkeso Seberang Jaya di sini, hari ini.
NUBE dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa bahawa Steven secara rahsia telah berbincang dengan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) tanpa pengetahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE berkenaan dengan pembayaran Bantuan Perayaan tahun ini.
Dakwa mereka, akibat tindakan salah guna kuasa itu, kira-kira 15,000 pekerja bank dalam kategori B40 dan M40 mengalami kerugian kerana dinafikan haknya.
Dalam perkembangan lain, Steven berkata, Persatuan Bomba Sukarela Bukit Mertajam dipilih untuk menerima sumbangan tajaan caruman SKSPS itu kerana mereka sangat aktif dalam membantu masyarakat.
“Saya sendiri sangat aktif dengan pertubuhan ini (persatuan bomba sukarela) khususnya di Berapit. Jadi, saya faham usaha dan cabaran mereka berdepan dalam berdepan dengan pelbagai risiko atau bahaya ketika menjalankan tugas.
“Jika sebelum ini bomba sukarela yang melindungi kita tanpa mengira kaum atau agama, maka, sekarang kita ingin memberi perlindungan kepada pasukan bomba sukarela pula,” kata beliau.
Berdasarkan perangkaan oleh Perkeso Pulau Pinang sepanjang tahun ini iaitu sehingga 17 April lalu, seramai 8,841 individu bekerja sendiri telah mencarum dengan SKSPS.
Daripada jumlah itu pula, seramai 81 pencarum di negeri ini telah menerima faedah SKSPS dengan bayaran berjumlah RM319,819.86 bagi tempoh antara Januari hingga Mac tahun ini.-UTUSAN










