MADRID: Lionel Messi terus memperluaskan empayar bola sepaknya apabila secara rasmi mengambil alih kelab divisyen kedua Sepanyol, Eldense, menjadikan pasukan itu kelab kedua di negara berkenaan yang dimiliki legenda Argentina tersebut.
Kelab yang berpangkalan di wilayah Alicante itu mengesahkan pengambilalihan berkenaan semalam, hanya beberapa bulan selepas pemenang Ballon d’Or lapan kali itu membeli Cornella yang berpangkalan berhampiran Barcelona.
“Club Deportivo Eldense secara rasmi mengumumkan pengambilalihan oleh Leo Messi.
“Ditubuhkan pada 1921, CD Eldense memulakan lembaran baharu dengan cita-cita untuk mengukuhkan kedudukan dan berkembang dalam bola sepak profesional,” menurut kenyataan kelab itu.
Pengambilalihan tersebut dilihat sebagai langkah terbaharu Messi dalam membina portfolio pelaburan bola sepak menjelang penghujung kariernya sebagai pemain profesional.
Messi, 39, kini masih beraksi bersama Inter Miami sejak menyertai kelab Major League Soccer (MLS) itu pada 2023.
Menurut laporan media, kontraknya bersama Inter Miami turut mengandungi peruntukan yang membolehkannya menjadi pemegang saham dalam kelab tersebut selepas bersara.
Legenda Argentina itu mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa pada penghujung Ogos lalu selepas membantu negaranya mara ke final Piala Dunia 2026 sebelum tewas kepada Sepanyol.-AGENSI











