Berdepan Messi sudah cukup istimewa - Bellingham

Berdepan Messi sudah cukup istimewa – Bellingham

LIONEL Messi (kiri) dan Jude Bellingham. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Jude Bellingham menafikan dakwaan berlaku pertengkaran dengan Lionel Messi ketika England tewas 1-2 kepada Argentina pada separuh akhir Piala Dunia, sebaliknya menjelaskan mereka hanya berbincang mengenai satu insiden kekasaran di atas padang.

Bintang Real Madrid itu berkata, insiden yang berlaku seawal minit keempat permainan telah diperbesarkan banyak pihak walaupun hakikatnya tiada sebarang perselisihan serius antara mereka.

“Kami sebenarnya berbincang mengenai satu kekasaran. Tiada apa-apa yang buruk berlaku.

“Saya pasti semua orang akan membesarkan perkara ini, tetapi sebenarnya tiada apa-apa. Saya merasakan ada kekasaran sebelum itu, dan dia berkata, ‘Bagaimana pula kekasaran ke atas saya?’ Saya pula menjawab, ‘Awak cukup kuat untuk menghadapinya’,” katanya.

Menurut Bellingham, peluang berkongsi pentas dengan pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu tetap menjadi detik istimewa walaupun England terpaksa melupakan impian mara ke final.

“Tetapi tiada apa-apa. Ia satu penghormatan dapat bermain menentangnya.

“Sudah tentu saya berada di pihak yang kalah dan ia amat menyakitkan, tetapi ia tetap satu penghormatan dapat beraksi menentangnya,” katanya.

Messi sekali lagi membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila mencipta dua bantuan gol kepada Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez untuk membantu Argentina bangkit daripada ketinggalan selepas Anthony Gordon meletakkan England di depan pada awal babak kedua.

Kekalahan itu sekali lagi memanjangkan penantian England untuk muncul juara dunia sejak 1966, manakala Argentina kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan apabila bakal berdepan Sepanyol pada aksi final awal pagi Isnin ini..- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN