PETALING JAYA: Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap berpuas hati dengan prestasi dan komitmen anak buahnya biarpun Malaysia gagal melangkah ke final Piala ASEAN FIFA 2026.
Harimau Malaya terpaksa akur terlepas tiket ke final selepas Indonesia mempunyai kelebihan jaringan untuk muncul juara Kumpulan A, biarpun berkongsi tujuh mata dengan Malaysia selepas tiga perlawanan.
Menurut Cheng Hoe, kemenangan besar 6-0 yang diraih skuad negara dalam aksi terakhir menentang Singapura memberikan keyakinan kepada pasukan untuk terus memperbaiki prestasi pada masa akan datang.
Beliau turut menzahirkan tahniah kepada semua pemain yang dianggap sudah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang perlawanan, selain mempamerkan sikap positif di atas padang sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain kami. Kemenangan dalam perlawanan sebegini benar-benar memberikan kami rasa yang baik, suasana yang baik yang membuatkan kami mahu meneruskan perjalanan ini.
“Sudah tentu, pada masa yang sama, bagi saya sebagai jurulatih, ada sedikit terkilan kerana kami tidak layak ke peringkat akhir.
“Namun begitu, saya sangat berpuas hati dengan sikap para pemain, gembira dengan cara permainan kami. Mereka memberikan segalanya dalam perlawanan dan kami perlu meneruskan perjalanan ini,” katanya selepas perlawanan.
Cheng Hoe berkata, persembahan yang ditampilkan anak buahnya membuktikan mereka mempunyai kualiti untuk bersaing selepas mempamerkan permainan yang cukup baik sepanjang saingan kumpulan.
Menurutnya, komitmen pemain dalam setiap pergerakan, penguasaan bola serta kemampuan melakukan penyudah dengan baik menjadi antara aspek positif yang boleh dijadikan sandaran untuk perkembangan pasukan.
“Kalau kita lihat, pemain kami menunjukkan satu permainan yang cukup-cukup baik. Mereka begitu komited setiap pergerakan, begitu baik dari segi pengawalan bola dan juga penyudah yang begitu baik.
“Tetapi dalam bola sepak, perkara sebegini boleh berlaku. Jadi ini ibarat suka dalam duka dan sudah tentu kita kena pandang ke hadapan, berfikiran positif. Pasukan perlu berkembang, perlu bertambah baik untuk perlawanan seterusnya,” katanya.











