Pendapatan, kos pengeluaran padi masih tak seimbang

Pendapatan, kos pengeluaran padi masih tak seimbang

Pendapatan pesawah
PESAWAH masih berdepan isu pendapatan dan kos pengeluaran padi tidak seimbang selain risiko bencana seperti banjir, kemarau, penyakit serta serangan serangga perosak yang menyebabkan hasil merosot. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pesawah masih berdepan isu pendapatan dan kos pengeluaran padi yang tidak seimbang menjadi antara faktor kemerosotan kadar sara diri (SSR) beras negara dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kedua-dua isu tersebut sepatutnya diberikan tumpuan oleh kerajaan berbanding cadangan mewartakan kawasan jelapang padi dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Katanya, walaupun pelbagai bantuan dan subsidi berjumlah RM2.62 bilion pada tahun ini disediakan, namun langkah itu didakwa tidak dapat mengimbang kos penanaman padi yang mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap kitaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terdapat gambaran kos keseluruhan penanaman boleh mencecah lebih RM10,000 bagi satu kitaran sedangkan hasil sekitar lima tan metrik memberikan pulangan kira-kira RM7,500 dalam contoh yang dibangkitkan.

“Pesawah berhadapan kos membajak, menuai, racun, baja, benih, diesel, sewaan tanah dan jentera yang semakin membebankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Nurul Syazwani, pesawah turut berdepan risiko bencana seperti banjir, kemarau, penyakit serta serangan serangga perosak yang menyebabkan hasil merosot dan seterusnya menanggung kerugian.

Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mencadangkan kerajaan negeri supaya mewartakan kawasan jelapang padi susulan penurunan kadar SSR beras pada tahun lalu.

Saranan itu diutarakan dalam mesyuarat dipengerusikan menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan exco pertanian negeri, semalam susulan kadar SSR menurun daripada 68 peratus pada 2018 kepada 54.3 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, Nurul Syazwani berkata, beliau menyokong saranan tersebut sebagai salah satu usaha bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara susulan kebergantungan terhadap import kira-kira 1.42 tan beras bernilai RM2.95 bilion.

“Angka ini sepatutnya menjadi amaran besar kepada kerajaan. Namun persoalan saya mudah, kalau kerajaan mahu menyelamatkan jelapang padi, siapa pula yang mahu menyelamatkan pesawah?

“Saya datang daripada kawasan yang kehidupan masyarakatnya sangat dekat dengan sawah dan pesawah. Realiti di lapangan tidak boleh dinilai hanya melalui angka peruntukan dan pengumuman subsidi.

“Jangan apabila negara memerlukan beras, kita bercakap mengenai kepentingan pesawah. Tetapi apabila pesawah bercakap mengenai kos, hutang dan pendapatan mereka, suara mereka tenggelam. Suara mereka mesti didengar,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN