BANDAR GAZA: Israel terus membunuh rakyat Palestin, menyerang kemudahan kesihatan dan menyekat bekalan penting hampir setahun selepas gencatan senjata di Gaza diumumkan, menurut amaran Bantuan Perubatan untuk Rakyat Palestin (MAP).
Badan amal itu berkata, tentera Israel membunuh lebih 1,400 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 5,000 yang lain sejak perjanjian berkenaan diumumkan pada 10 Oktober 2025, berdasarkan angka Kementerian Kesihatan Gaza.
Hospital pula masih kekurangan ubat, bahan api dan bekalan penting, menyebabkan sistem kesihatan bergelut untuk pulih.
“Setahun lalu, rakyat Palestin diberitahu pembunuhan akan dihentikan dan mereka diberi peluang untuk membina semula kehidupan. Sebaliknya, mereka menghabiskan tempoh setahun lalu dengan terus berdepan kematian, kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan.
“Rakyat Palestin tidak sepatutnya dipaksa menghabiskan satu tahun lagi hanya untuk berusaha terus hidup ketika genosid ini berterusan tanpa sebarang tindakan,” kata Pengarah MAP di Gaza, Fikr Shalltoot.
MAP berkata, tentera Israel mara melepasi Garisan Kuning yang ditetapkan di bawah perjanjian itu sebagai had tentera Israel sepatutnya berundur dan kini menguasai kira-kira 70 peratus wilayah Gaza.
Lebih dua juta rakyat Palestin terkepung di kawasan yang masih tinggal.
Kemaraan itu menyebabkan keluarga terpaksa berpindah dan menyukarkan mereka mendapatkan akses ke rumah, kemudahan kesihatan dan kemudahan sanitasi.
Pembantu komunikasi MAP, Mona Ramadan berkata, garisan itu kini berubah sehingga melepasi rumah keluarganya yang musnah di Beit Lahia, tempat bapa dan saudara lelaki kandungnya masih tertimbus di bawah runtuhan.
“Membunuh mereka belum cukup. Kubur mereka juga sudah dilenyapkan,” katanya.
MAP memetik angka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang merekodkan 56 serangan terhadap kemudahan kesihatan antara Januari hingga Ogos 2026, mengorbankan 10 orang dan mencederakan 49 yang lain.
Hanya 35 daripada 57 hospital dan pusat rawatan lapangan di Gaza masih beroperasi sebahagiannya, manakala tiada satu pun yang berfungsi sepenuhnya.
Kemaraan tentera Israel turut menyebabkan projek penjagaan bayi baharu lahir MAP di Hospital Kamal Adwan terpaksa dihentikan. Projek pemulihan MAP di Hospital Eropah Gaza pula dipindahkan ke Hospital Nasser selepas hospital berkenaan tidak lagi dapat diakses.– AGENSI











