Thailand tawar 'pengampunan' kepada kumpulan pemisah

Thailand tawar ‘pengampunan’ kepada kumpulan pemisah

THAILAND sedia memberi pengampunan kepada individu yang terlibat dengan kes keganasan dan menjejaskan keselamatan, menyerah diri mengikut Seksyen 21 Akta Keselamatan Dalam Negeri B.E. 2551 (2008). - GAMBAR FAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand menawarkan peluang kepada individu yang terlibat dengan kes keganasan dan menjejaskan keselamatan, menyerah diri mengikut Seksyen 21 Akta Keselamatan Dalam Negeri B.E. 2551 (2008).

Tawaran itu dibuat setelah Kabinet Thailand bersetuju memberi peluang kepada kepada mana-mana anggota kumpulan bersenjata atau pemisah untuk menjalani latihan khas, bukannya berdepan prosiding jenayah di mahkamah.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, peluang itu diberikan kepada individu yang menyesal dan mengakui kesilapan serta menyedari akibat perbuatan mereka yang menjejaskan keselamatan awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka yang menyerah diri akan dihantar mengikuti latihan berdasarkan perintah mahkamah serta mematuhi syarat yang ditetapkan sebagai alternatif kepada proses keadilan jenayah biasa.

“Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada individu berkenaan untuk kembali ke dalam masyarakat serta menyokong usaha mewujudkan keamanan di kawasan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jurucakap itu berkata, antara prinsip penting Seksyen 21 adalah individu terbabit mesti didapati bersalah atas sesuatu kesalahan, insaf dan menyerah diri kepada pihak berkuasa serta mendapat kelulusan Ketua Pengarah ISOC, selain menjalani latihan yang disediakan.

Katanya, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh perisytiharan zon keselamatan di 19 daerah di Wilayah Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla bermula 1 Oktober 2026 hingga 30 September 2027.

“Langkah ini bertujuan memastikan pengurusan kawasan serta keselamatan nyawa dan harta benda rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Antara daerah yang terlibat di Wilayah Narathiwat ialah Yingo, Waeng, dan Sukhirin manakala Wilayah Pattani pula membabitkan Yaring, Panare, Mayo, Mai Kaen, Thung Yang Daeng, Kapho dan Mae Lan,” ujarnya.

Jurucakap itu berkata, Yala pula melibatkan lima daerah iaitu Betong, Yaha, Raman, Kabang dan Krong Pinang sementara Wilayah Songkhla membabitkan Daerah Na Thawi , Chana, Thepha dan Saba Yoi.

Katanya, lanjutan tempoh itu dibuat setelah pihak berkuasa melakukan penilaian terhadap situasi di kawasan berkenaan yang masih berpotensi berlaku kejadian keganasan serta situasi yang mengancam keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN