CelcomDigi lancar CelcomDigi Campus, pensijilan berasaskan teknologi

CelcomDigi lancar CelcomDigi Campus, pensijilan berasaskan teknologi

ALBERN Murty (dua kiri) dan Azlinda Azman (tigakanan) bersama wakil Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada pelancaran majlis CD:nxt di Petaling Jaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan bakat digital negara menerusi fasa baharu inisiatif CD:nxt, termasuk pelancaran program CelcomDigi Campus serta penawaran program pensijilan kemahiran berteraskan teknologi.

Inisiatif yang menyokong aspirasi Rancangan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (RPPM) 2026-2035 itu bertujuan melahirkan graduan berdaya saing, berjiwa keusahawanan dan bersedia mendepani cabaran ekonomi digital, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta automasi.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, kerjasama berasaskan industri dan akademia amat penting bagi memastikan pembelajaran di universiti sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penglibatan awal industri bersama institusi pengajian tinggi membolehkan pelajar menangani cabaran dunia perniagaan sebenar menerusi bimbingan mentor industri dan pendedahan terancang sebelum mereka bergraduat.

“KPT amat menghargai usaha berterusan CelcomDigi yang tampil menyokong ekosistem pendidikan tinggi, khususnya menerusi keyakinan yang diberikan kepada universiti awam dan swasta tempatan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan di sini.

Menerusi inisiatif CelcomDigi Campus, syarikat bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Hub University bagi menyediakan platform pendedahan industri secara langsung, tugasan kes sebenar serta bimbingan berstruktur di fasiliti CelcomDigi Tower dan CelcomDigi Hub.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, penganjuran program pembangunan bakat ini merupakan pelaburan jangka panjang syarikat untuk memastikan negara tidak kehilangan bakat tempatan berpotensi tinggi ke pasaran luar.

“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami bertanggungjawab memperkasakan keupayaan modal insan negara. Program ini direka untuk memberi pendedahan persekitaran kerja sebenar serta melengkapi penuntut dengan kemahiran berasaskan teknologi masa hadapan.

“Selain program bakat muda, penawaran program pensijilan khas dalam bidang seperti AI, data, awan dan keselamatan siber turut disediakan bagi membolehkan pelajar serta profesional meningkatkan kebolehan teknikal mereka,” katanya.

Program berkenaan turut menyaksikan penglibatan aktif peserta Program Bakat Muda (Young Talent Programme) CelcomDigi yang kini memasuki tahun kedua pelaksanaan, selain penyertaan lebih 300 penuntut tahun akhir dari pelbagai universiti tempatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN