DUNIA seni kehilangan seorang tokoh yang menjadikan bintik polka atau polka dot, labu dan pantulan tanpa penghujung sebagai bahasa visual yang dikenali di seluruh dunia.
Yayoi Kusama, artis Jepun yang karya uniknya menarik jutaan pengunjung ke galeri dan muzium, meninggalkan legasi merentasi sempadan seni, budaya dan generasi.
Daripada lukisan Infinity Nets yang dipenuhi corak titik berulang kepada pemasangan Infinity Mirror Rooms yang membawa pengunjung ke ruang seolah-olah tiada penghujung, karya Kusama mencipta pengalaman seni yang tersendiri dan sukar dilupakan.
Arca labu berwarna terang serta motif bintik polka yang menjadi identiti beliau turut menjadikan Kusama antara nama paling dikenali dalam seni kontemporari, dengan karya-karyanya meraih jutaan dolar dalam jualan lelongan.
Namun, di sebalik populariti global itu, perjalanan Kusama menuju kejayaan tidak pernah mudah.

Beliau berdepan trauma zaman kanak-kanak, masalah kesihatan mental dan bertahun-tahun hidup dalam keadaan kurang dikenali sebelum akhirnya mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah pada 1929, Kusama menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanaknya di sebuah kilang ketenteraan yang menghasilkan payung terjun untuk tentera empayar Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Di usia muda, beliau mula mengalami halusinasi visual, termasuk melihat dunia dipenuhi titik-titik yang kemudian menjadi antara motif paling sinonim dengan karya seninya.
Kusama kemudiannya melanjutkan pengajian seni di Kyoto, namun, beliau tidak begitu berminat dengan tradisi seni Jepun dan lebih cenderung meneroka seni abstrak serta corak berulang.
Gaya tersendiri
Selepas bertukar surat dengan artis Amerika, Georgia O’Keeffe, Kusama yang berusia 27 tahun berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada penghujung 1950-an. Beliau tiba di Seattle sebelum menetap di New York ketika gerakan seni pop mula berkembang.
Di New York, beliau menghasilkan karya berani dan eksperimental, menggunakan titik, bunga serta bentuk menyerupai falus dalam lukisan, arca dan pemasangan seni, selain meneroka bidang filem, kesusasteraan dan seni persembahan.
Karya Infinity Mirror Rooms menjadi fenomena global apabila jutaan pengunjung datang untuk menyaksikan ruang yang dipenuhi pantulan cahaya dan warna sehingga menghasilkan ilusi seolah-olah tiada penghujung.

Pada era budaya kontra arus perdana 1960-an, Kusama turut menghasilkan persembahan seni yang dikenali sebagai happening, termasuk mengecat tubuh manusia tanpa pakaian dengan corak titik.
Di sebalik karya ceria dan penuh warna, beliau turut berani menyentuh isu besar pada zamannya, termasuk kesaksamaan gender, hak golongan gay dan gerakan antiperang.
Karya Kusama turut mendapat perhatian dalam dunia seni, malah ada yang mengambil inspirasi daripadanya atau menirunya secara langsung.
Bagaimanapun, beliau tidak pernah benar-benar diterima sepenuhnya oleh kelompok utama dunia seni.
Walaupun berkawan dengan artis terkenal seperti Andy Warhol dan Donald Judd, Kusama terus dilihat sebagai tokoh yang berada di luar arus utama dunia seni.
Kusama meninggal dunia di sebuah hospital di Tokyo pada 14 Ogos ketika usianya 97 tahun, menurut kenyataan di laman web rasminya.
Pemergiannya menutup satu perjalanan panjang seorang artis yang mengubah pengalaman peribadi dan dunia visual menjadi karya yang terus memikat khalayak di seluruh dunia.











