AMPANG: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan isu tular yang mengaitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipercayai sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, semua pihak perlu menunggu hasil siasatan rasmi dan tidak membuat sebarang andaian awal tanpa berlandaskan fakta yang sahih.
“Terkait dengan isu yang ditularkan dalam sehari dua ini berkaitan dengan Ketua Pengarah AKPS, sebenarnya sehingga sekarang pihak JPA belum menerima apa-apa laporan.
“Jadi, saya percaya KDN yang merupakan kementerian yang menjaga AKPS ini mungkin sedang melaksanakan siasatan.
“Kita tunggu, kerana saya tidak boleh menyatakan mana betul, mana salah tanpa ada fakta-fakta yang jelas,” katanya kepada pemberita selepas Program Santuni Pesara di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular video di media sosial yang memaparkan Mohd Shuhaily sedang memarahi seorang individu.
Dalam video berkenaan, kepala individu terbabit turut kelihatan dipegang dalam satu tindakan yang didakwa berlaku dengan agak keras.
Selain video berkenaan, salinan laporan polis yang didakwa dibuat individu yang mendakwa dikasari Mohd Shuhaily turut tular.
Semalam, Mohd Shuhaily dalam sidang media menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung insiden berkenaan.
Malah, beliau turut menegaskan kesediaannya menerima sebarang keputusan yang bakal dibuat berhubung perkara itu. – UTUSAN











