SEOUL: bekas anggota kumpulan BigBang, T.O.P, mengesahkan menjalin hubungan cinta dengan pelakon jelita yang juga bekas anggota After School, Nana.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh agensi T.O.P, TOPSPOT PICTURES, bersama agensi Nana, Sublime Artist Agency, dalam satu kenyataan rasmi.
Menurut kenyataan tersebut, bibit asmara antara dua bintang tersohor itu bermula selepas mereka dipertemukan dalam satu sesi penggambaran video muzik sebelum hubungan tersebut bertukar serius sekitar Jun lalu.
“Kedua-duanya mula bertemu dan menjalinkan keserasian melalui penggambaran sebuah video muzik. Hubungan tersebut kemudiannya berkembang menjadi hubungan cinta sejak Jun lalu,” lapor kenyataan berkenaan.
Pasangan itu muncul bersama dalam video muzik lagu Totally Crazy! yang merupakan lagu utama daripada album solo penuh pertama T.O.P yang dilancarkan pada April tahun ini.
Difahamkan, T.O.P atau nama sebenarnya Choi Seung-hyun, menghubungi Nana secara peribadi untuk mempelawanya beraksi dalam video muzik tersebut dan pelawaan itu diterima baik oleh Nana.
Keserasian mereka dikatakan bertambah erat memandangkan kedua-duanya mempunyai latar belakang kerjaya yang hampir sama iaitu bermula sebagai idola generasi kedua sebelum beralih ke bidang lakonan.
Malah, pengalaman masing-masing yang pernah berdepan dengan pelbagai khabar angin jahat dan kecaman netizen sepanjang kerjaya membolehkan mereka saling memahami ‘luka’ serta pahit getir kehidupan sebagai anak seni.
T.O.P yang memulakan debut bersama BigBang pada 2006 pernah berada di puncak populariti menerusi lagu hit seperti Lies dan Fantastic Baby. Namun, kerjayanya sedikit tercalar selepas terpalit dengan kontroversi penyalahgunaan ganja pada 2017 yang menyebabkannya mengumumkan persaraan daripada industri hiburan.
Bagaimanapun, bintang berusia 38 tahun itu kembali mencuri tumpuan dunia apabila membuat kemunculan semula menerusi siri popular Netflix, Squid Game 2 pada Disember 2024 dengan memegang watak sebagai Thanos.
Sementara itu, Nana atau nama sebenarnya Im Jin-ah, mula dikenali menerusi kumpulan After School pada 2009 dan subunit Orange Caramel. Dia kemudiannya berjaya membina reputasi kukuh sebagai pelakon gred A menerusi naskhah seperti Mask Girl dan filem The Swindlers.
Terbaharu, Nana sekali lagi membuktikan bakat lakonannya yang versatil menerusi drama sejarah terbitan Netflix berjudul The Scandal. -UTUSAN











