JAKARTA: Kualiti udara di Jakarta pada pagi Jumaat berada dalam kategori tidak sihat, sekali gus menduduki tempat keempat dalam senarai bandar raya dengan kualiti udara terburuk di dunia.
Menurut laman pemantauan kualiti udara IQAir pada jam 5.55 pagi waktu tempatan, Indeks Kualiti Udara (AQI) Jakarta mencatatkan bacaan 169.
Ia menunjukkan kualiti udaranya berada dalam kategori tidak sihat, didorong pencemaran PM2.5 dengan kepekatan 87 mikrogram bagi setiap meter padu, lapor ANTARA.
Bacaan itu menunjukkan tahap kualiti udara yang tidak sihat bagi golongan sensitif kerana ia boleh menjejaskan kesihatan manusia dan populasi haiwan sensitif, selain menyebabkan kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan serta nilai estetika.
Lahore, Pakistan menduduki tempat teratas dalam senarai bandar raya dengan kualiti udara terburuk dengan bacaan 208, diikuti Manama, Bahrain (181), Kolkata, India (178) dan Delhi, India (159).
Berhubung kualiti udara di Jakarta, laman berkenaan turut mengesyorkan orang ramai mengelakkan aktiviti luar.
Jika berada di luar, pakai pelitup muka dan tutup tingkap bagi mengelakkan udara tercemar dari luar memasuki rumah.
Pemerintah Wilayah Jakarta sedang menyediakan tindakan pantas bagi menangani pencemaran udara di ibu negara itu ketika musim kemarau yang diramalkan berlaku dari awal Mei hingga Ogos.
Langkah segera bagi menangani pencemaran udara ketika musim kemarau termasuk menaik taraf sistem pemantauan kualiti udara dan menjalankan ujian pelepasan asap kenderaan bermotor.
Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kering yang lazimnya berlangsung dari Julai hingga Oktober.
Namun, kebakaran tahun ini lebih serius, berikutan fenomena El Nino yang dijangka menjadi yang terkuat sejak rekod seumpamanya mula direkodkan empat dekad lalu.
Pakar turut menyalahkan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad dan amalan pembukaan tanah secara tebang serta bakar yang mengubah landskap semula jadi di mana sebelum ini tahan terhadap kebakaran. – AGENSI











