KUALA TERENGGANU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan koridor ekonomi baharu di Terengganu, sekali gus menarik pelaburan, memperkukuh sektor industri dan logistik serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, ECRL bukan sekadar projek pengangkutan, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk mencetuskan pertumbuhan ekonomi di kawasan yang dilaluinya.
Beliau berkata, Terengganu merekodkan kira-kira RM12.50 bilion pelaburan yang diluluskan sepanjang 2022 hingga 2025, membabitkan RM9.14 bilion pelaburan asing (FDI) dan RM3.36 bilion pelaburan domestik (DDI).
Katanya, pelaburan itu berpotensi mewujudkan lebih 7,200 peluang pekerjaan baharu, terutama dalam sektor industri, tenaga, logistik, perkhidmatan dan industri hiliran.
“Kita mahu memastikan pelaburan yang masuk bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur, tetapi menghasilkan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan melalui penciptaan pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terengganu mempunyai enam stesen ECRL iaitu Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai yang bakal membentuk jaringan baharu antara pusat pertumbuhan ekonomi, kawasan industri, komersial dan destinasi pelancongan.
Hanafiah berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sekitar stesen ECRL dengan peruntukan RM119.30 juta diperlukan sehingga 2028.
“Pembangunan sekitar stesen tidak seharusnya terhad kepada tempat naik dan turun penumpang, tetapi perlu berkembang sebagai pusat ekonomi, komersial dan perkhidmatan.
“Setiap stesen mempunyai potensi berbeza mengikut kekuatan dan keperluan kawasan masing-masing. Sebab itu, perancangan TOD perlu dibuat secara strategik supaya manfaat ECRL dapat dinikmati dalam jangka panjang,” katanya.
ECRL turut berpotensi memperkukuh Kemaman sebagai hab industri dan logistik menerusi hubungan dengan Pelabuhan Kemaman, kawasan industri serta rangkaian jalan raya.
Kesalinghubungan berkenaan mampu meningkatkan kecekapan pergerakan barangan dan kargo selain membuka peluang pelaburan dalam logistik, pergudangan, industri hiliran dan rantaian bekalan. – UTUSAN











