Aset tetap bersih Malaysia berkembang kepada 4.2 peratus pada 2025 - Utusan Malaysia

Aset tetap bersih Malaysia berkembang kepada 4.2 peratus pada 2025

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aset tetap bersih Malaysia merujuk kepada Stok Modal Bersih (SMB), berkembang sebanyak 4.2 peratus kepada RM3.7 trilion pada 2025 didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, SMB sektor perkhidmatan dengan sumbangan 70 peratus (RM2.6 trilion), meningkat 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2024.

“SMB bagi sektor perkhidmatan disokong oleh subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi dan utiliti,” katanya dalam kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, SMB sektor pembuatan menyumbang 12.1 peratus kepada keseluruhan SMB, bertumbuh sebanyak 5.5 peratus berbanding 4.8 peratus pada 2024 yang merekodkan RM451.4 bilion.

“SMB sektor pembuatan adalah disokong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik, produk elektrik, elektronik dan optikal dan makanan, minuman dan tembakau,” katanya.

Di samping itu, SMB sektor perlombongan dan pengkuarian menyumbang 15.1 peratus diikuti sektor pembinaan dengan sumbangan 1.0 peratus dan sektor pertanian iaitu 1.9 peratus.

“Dari segi jenis aset, sebahagian besar SMB adalah struktur dengan sumbangan 81 peratus, terus meningkat kepada 4.1 peratus berbanding 3.8 peratus pada tahun sebelumnya. Jentera dan peralatan dengan sumbangan 11.4 peratus kepada SMB, terus mengukuh kepada 6.6 pada 2025 peratus berbanding 5.6 peratus pada 2024.

“Aset lain seperti cari gali mineral & penilaian, penyelidikan & pembangunan dan ternakan merekodkan sumbangan 7.6 peratus daripada SMB. Stok Modal Produktif (SMP) mengukur aset yang masih beroperasi dan terus menyumbang kepada keluaran ekonomi, meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada RM5.0 trilion.

“Peningkatan adalah dipacu oleh sektor perkhidmatan dan perlombongan dan pengkuarian di mana masing-masing bertumbuh 4.8 peratus dan 1.5 peratus,” katanya.

Selain itu, Stok Modal Kasar (SMK) berjumlah RM6.0 trilion pada 2025.

“SMK meningkat 3.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh sektor perkhidmatan yang bertumbuh 4.6 peratus dan sektor pembuatan pada 4.0 peratus,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×