KUALA LUMPUR: Kesungguhan masyarakat mendapatkan ilmu serta usaha memperkasa pendidikan dan taraf kehidupan golongan berpendapatan rendah (B40) menarik perhatian pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz.
Suami kepada selebriti popular, Noor Neelofa itu berkata, pengalaman menghadiri sebuah program yang menghimpunkan masyarakat India di Madrasah India Kampung Pandan baru-baru ini memberikan perspektif baharu kepadanya, khususnya apabila berpeluang berhadapan dengan khalayak yang keseluruhannya terdiri daripada masyarakat India.
Menurutnya, situasi itu cukup berbeza berbanding program ceramah yang lazimnya dihadirinya sebelum ini kerana majoriti peserta terdiri daripada masyarakat Melayu.
“Biasa ‘crowd’ yang dengar ceramah saya orang Melayu. Tapi buat kali pertama yang semuanya, saya ulang, semuanya bangsa India,” katanya.
Menurut PU Riz, apa yang lebih menarik perhatiannya ialah semangat masyarakat berkenaan untuk menimba ilmu selain usaha mereka memperbaiki taraf kehidupan menerusi pendidikan dan peningkatan kemahiran.

Dalam pada itu, PU Riz turut menzahirkan rasa bangga terhadap usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam membantu memperkasa masyarakat menerusi pelbagai bentuk bantuan, termasuk sumbangan dan geran bagi menyokong program kemasyarakatan, pendidikan, kemahiran serta peluang pekerjaan.
Katanya, inisiatif seumpama itu penting bagi memastikan akses kepada ilmu, kemahiran dan peluang meningkatkan taraf kehidupan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum.
Untuk rekod, bantuan KESUMA bukan hanya disasarkan kepada masyarakat India, sebaliknya turut membabitkan komuniti lain mengikut keperluan serta bentuk program yang dilaksanakan.
Sebelum ini, kementerian itu turut menyalurkan geran kepada syarikat sama bagi pelaksanaan program membabitkan ceramah dan peluang pekerjaan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, yang disertai kira-kira 60 hingga 70 peserta.
PU Riz berharap usaha berterusan seumpama itu dapat diperluaskan supaya lebih ramai masyarakat, khususnya golongan B40, mendapat akses kepada pendidikan, kemahiran dan peluang yang mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka.
“Kita doakan semua, tidak kira bangsa, khususnya di negara ini memperoleh satu kekuatan ilmu yang tertinggi, insya-Allah,” katanya.











