PETALING JAYA: Dakwaan lebih 100,000 pekerja kedai tomyam tidak mempunyai permit kerja sah berpunca daripada kekangan pengusaha kecil memenuhi syarat penginapan pekerja di bawah Akta 446.
Akta 446 atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 mewajibkan majikan menyediakan tempat tinggal dan kemudahan asas yang selamat, bersih serta selesa untuk pekerja.
Penasihat Pertubuhan Sahabat Tomyam Prihatin SeMalaysia, Che Mamad Che Mod berkata, pengusaha perlu memenuhi syarat penginapan pekerja di bawah Akta 446 sebelum mendapatkan kelulusan awal menggajikan pekerja asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955.
Menurutnya, kegagalan memenuhi syarat berkenaan menyebabkan pengusaha tidak dapat meneruskan proses permohonan permit pekerja asing.
“Kalau kita ada empat pekerja, dua lelaki dan dua perempuan, kita kena ada dua rumah kerana penginapan lelaki dan perempuan perlu berasingan.
“Kalau keluarga pengusaha turut tinggal di kawasan sama, pekerja juga perlu ditempatkan di rumah berasingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan pihak berkuasa pembangunan wilayah Selatan Thailand mengesahkan terdapat lebih 100,000 warga Thailand yang bekerja di restoran tomyam di Malaysia belum mempunyai permit kerja yang sah.
Pemangku Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Chonthanya Saengphum berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat 200,000 warga Thailand yang bekerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam di Malaysia.
Che Mamad berkata, kos sewaan penginapan, bil utiliti serta kelengkapan rumah untuk pekerja menjadi beban kepada pengusaha kecil kerana perlu menanggung kos tambahan, selain perbelanjaan operasi kedai.
Katanya, kira-kira 10 persatuan tomyam negeri kini bergabung bagi membawa isu berkenaan kepada kerajaan dan mencari penyelesaian terhadap kekangan yang dihadapi pengusaha.
Beliau berkata, gabungan berkenaan sudah mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada 29 September lalu bagi membincangkan isu penginapan pekerja serta proses mendapatkan permit pekerja asing.
Menurutnya, pihaknya memohon supaya restoran tomyam dikecualikan daripada keperluan Akta 446 kerana kebanyakan pengusaha menjalankan perniagaan kecil berasaskan keluarga dan tidak mampu memenuhi keseluruhan syarat penginapan yang ditetapkan.
“Bukan kita tidak mahu permit tetapi kita tidak mampu melaksanakan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta 446, sebab itu kita mahu kerajaan melihat semula perkara ini,” katanya.-UTUSAN








