PETALING JAYA: Pertubuhan Sahabat Tomyam Prihatin Semalaysia (STPM) menafikan pernah memberikan atau mengesahkan angka lebih 100,000 warga Thailand bekerja di restoran tomyam di Malaysia tanpa permit kerja yang sah.
Menurut STPM, kehadiran pengusaha restoran dalam pertemuan dengan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) adalah bagi membincangkan kebajikan serta masalah dokumentasi pekerja, bukan memberikan statistik pekerja tanpa permit.
“Angka 100,000 pekerja tanpa permit tersebut bukan angka yang kami nyatakan, bukan angka yang kami sahkan dan bukan hasil kajian atau bancian yang dibuat oleh pertubuhan kami.
“Kami tidak mahu kenyataan yang dibuat dalam konteks perbincangan kebajikan pekerja disalah tafsir sebagai pengesahan statistik pekerja tanpa permit,” katanya dalam kenyataan.
Khamis lalu, akhbar ini melaporkan, Pemangku Setiausaha Agung SBPAC, Chonthanya Saengphum berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat 200,000 warga Thailand bekerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam di Malaysia.
Menurut laporan itu, lebih 50 peratus daripada pekerja terbabit tidak mempunyai permit kerja yang sah dan berdepan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa Malaysia.
Mengulas lanjut, STPM berkata, masalah dokumentasi atau proses permit yang belum selesai tidak boleh dijadikan bukti bahawa 100,000 pekerja tidak mempunyai permit sah.
Menurut pertubuhan itu, status pekerja perlu ditentukan berdasarkan rekod dan data rasmi pihak berkuasa Malaysia dan angka yang dikemukakan kepada media perlu mempunyai sumber, kaedah pengiraan serta pengesahan yang jelas.
Dalam pada itu, STPM memohon supaya proses kelulusan penggajian tukang masak tomyam dari Thailand mengambil kira kemampuan pengusaha mikro dan kecil.
Menurut STPM, antara kesukaran yang dihadapi ialah tempoh pas lawatan sosial yang terhad berbanding masa diperlukan untuk mendapatkan kelulusan, pemeriksaan penginapan serta penyediaan dokumen sokongan.
“Pengusaha turut berdepan kekeliruan mengenai keperluan slip gaji dan rekod pembayaran bagi pekerja baharu yang belum mempunyai permit kerja, selain kesukaran pekerja membuka akaun bank ketika permit masih diproses.
“Malah, keperluan mendapatkan dokumen bangunan seperti Sijil Kelayakan Menduduki (CF) atau Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) turut menyukarkan kelulusan penginapan kerana kebanyakan pengusaha hanya menyewa dan bergantung kepada kerjasama pemilik,” katanya.
Menurut pertubuhan itu, kos sewaan rumah bagi menempatkan satu hingga tiga pekerja boleh mencecah RM700 hingga RM1,500 sebulan, selain perbelanjaan menyediakan kemudahan dan kelengkapan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, STPM mencadangkan mekanisme kelulusan ringkas atau laluan pantas bagi pengusaha mikro dan kecil, kelonggaran bersyarat untuk penginapan pasangan suami isteri serta ahli keluarga, selain fleksibiliti sementara dalam kaedah pembayaran gaji.
Pertubuhan itu turut memohon Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia mengadakan sesi libat urus serta turun padang bagi mendapatkan pandangan pengusaha.
“STPM menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan dan perlindungan pekerja sentiasa terjamin.
“Namun demikian, pelaksanaan Seksyen 60K(4) perlu mengambil kira keunikan industri tomyam yang majoritinya terdiri daripada perusahaan mikro dan keluarga.
“Kami berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan pendekatan yang lebih praktikal, fleksibel dan mesra perusahaan kecil supaya matlamat pematuhan undang-undang dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan industri tomyam,” katanya – UTUSAN









