ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas berusia 102 tahun menjadi antara 2,300 warganegara yang sudah memperbaharui MyKad generasi baharu di negeri ini.
Bedah Salleh yang berasal dari Kampung Baru Tambak Bunga mengambil peluang untuk menukar kad pengenalan baharu itu bersama dua anaknya, Sopeah Majid, 80, dan Ghazali, 76.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah, Anuar Abd. Rahaman berkata, pihaknya merekodkan Bedah sebagai antara wanita tertua di Kedah setakat ini.
“Kemungkinan ada yang lebih berusia lagi namun kami merekodkan Bedah sebagai antara yang tertua di Kedah.
“Dia dan dua anaknya yang juga warga emas antara 2,300 warganegara yang memperbaharui Mykad masing-masing,” ujarnya sempena sambutan Hari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Anak Bukit, hari ini.
Sementara itu, menurut Sopeah, ibunya yang masih kuat ingatan sering meminum air kosong dan menjamah masakan kampung yang dipercayai menjadi antara amalan kekal sihat.
Katanya, Bedah juga masih mampu mengingati pengalaman hidup sejak kecil termasuk ketika zaman pendudukan Jepun dan kemerdekaan negara.
“Mak lebih gemar menikmati hidangan ringkas seperti nasi putih, ikan rebus dan ulam-ulaman serta langsung tidak minum air berais, air manis pun kurang kecuali kopi o panas setiap pagi.
“Alhamdulillah, mak masih sihat dan tiada penyakit kronik cuma darah tinggi sedikit yang terkawal,” katanya.
Sopeah berkata, ibunya juga sering bercerita tentang pengalaman hidup kepada cucu-cucunya termasuk zaman kanak-kanaknya yang banyak dihabiskan dengan membantu keluarga mengusahakan tanaman padi.
“Walaupun pendengaran agak kurang tetapi ingatan mak masih kuat malah lebih baik daripada kami dua beradik. Pernah satu hari kami lupa di mana tempat meletak kereta nasib baik mak ingat,” katanya.
Ujarnya, arwah bapanya, Majid Saad meninggal dunia pada 2013 ketika berusia 93 tahun dan mereka mempunyai tiga anak, tujuh cucu dan tujuh cicit. – UTUSAN











