KUALA TERENGGANU: Selepas kira-kira 10 tahun bersama kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mencetuskan tanda tanya mengenai hala tuju politiknya selepas memuat naik hantaran berhubung keputusan untuk meneruskan perjalanan dengan ‘wadah baharu’.
Menerusi hantaran dalam media sosial hari ini, Razali berkata, beliau mengambil keputusan berhenti selepas 10 tahun bersama kepemimpinan Bersatu dan akan meneruskan perjalanan politiknya menerusi wadah baharu.
“Insya-Allah, saya jalan terus dengan wadah baharu. Jangan kecam ‘deh’,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Hantaran tersebut sekali gus mencetuskan persoalan mengenai maksud sebenar ‘wadah baharu’ yang dinyatakan beliau, termasuk sama ada ia merujuk kepada perubahan dalam perjalanan politiknya atau keputusan untuk meninggalkan Bersatu.
Pada 7 Ogos lalu, Razali dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri selepas menerajui parti itu di Terengganu selama kira-kira 10 tahun.
Bagaimanapun, setakat hantaran tersebut dibuat, Razali belum memberikan penjelasan lanjut mengenai maksud ‘wadah baharu’ berkenaan atau sama ada keputusan itu turut membabitkan keahliannya dalam Bersatu.
Perkembangan itu dijangka menjadi perhatian susulan kedudukan Razali yang sebelum ini merupakan antara pemimpin utama Bersatu di Terengganu.
Sebelum ini, beliau pernah dikaitkan dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Sepanjang dalam Bersatu, Razali pernah menjadi Ketua Penerangan Bersatu Malaysia.
Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu. – UTUSAN











