PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menghidupkan peluang memburu emas acara pecut individu lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas mudah melangkah ke suku akhir.
Azizulhasni menewaskan pelumba India, David Beckham Elkatohchoongo pada pusingan pertama sebelum mengatasi pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi pada pusingan kedua di Velodrom Izu, Shizuoka, sekali gus menempah pertemuan dengan pelumba Jepun, Kanata Takahashi bagi merebut tempat ke separuh akhir esok.
The Pocket Rocketman terlebih dahulu mencatat masa ketiga terpantas keseluruhan, 9.467 saat dalam sesi kelayakan, hanya 0.065 saat di belakang rekod kebangsaan miliknya, 9.402s yang dilakukannya pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley melihat catatan berkenaan sebagai petunjuk Azizulhasni berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan esok.
“Saya melihat peluang Datuk Azizulhasni adalah baik. Dia layak dengan catatan masa yang sangat pantas, menunjukkan kelajuan dan kuasanya berada pada tahap yang sepatutnya.
“Namun, pendekatan kami mudah, fokus untuk menewaskan seorang lawan pada satu-satu masa. Tiada gunanya melihat terlalu jauh selain pelumba yang berada di depan kita pada pusingan seterusnya,” katanya selepas perlumbaan.
Menurut Beasley, cabaran esok bukan sekadar mengenai kelajuan kerana suku akhir, separuh akhir dan final akan berlangsung pada hari sama dengan setiap pusingan menggunakan format terbaik daripada tiga perlumbaan.
“Dia boleh berlumba sekurang-kurangnya enam kali dan berpotensi sehingga sembilan kali jika setiap pusingan berlanjutan ke perlumbaan ketiga. Jadi, pemulihan, konsentrasi dan pelaksanaan antara perlumbaan amat penting.
“Setakat ini Azizul menunggang dan berlumba dengan sangat baik. Kami tidak mahu mendahului keadaan, sebaliknya satu lawan, satu perlumbaan dan satu pusingan pada satu-satu masa,” katanya.
Sementara itu, Shah Firdaus menduduki tempat kesembilan dalam sesi kelayakan dengan catatan 9.850s sebelum tewas kepada pelumba Taiwan, Kang Shih-feng pada pusingan pertama dan gagal meneruskan cabaran menerusi repechage.
Kini tumpuan Malaysia terarah kepada Azizulhasni yang perlu melepasi Takahashi terlebih dahulu sebelum memikirkan laluan ke separuh akhir dan seterusnya memburu emas acara yang pernah dimenanginya pada Sukan Asia Jakarta 2018. – UTUSAN











