KUALA LUMPUR: Penyanyi dan jurulatih kehidupan bertauliah, Nourul Depp menegaskan kepimpinan wanita tidak seharusnya diukur berdasarkan gelaran atau kedudukan semata-mata, sebaliknya melalui kemampuan menggunakan peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Menurut Nourul, seorang wanita yang bergelar pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk memperkasa wanita lain, membantu mereka mengenal potensi diri serta memberi keyakinan untuk melangkah lebih jauh dalam kehidupan.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS).
“Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan. Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Nourul berkata demikian ketika mengulas penglibatannya sekali lagi dalam PERANTIS 2026, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Selain Nourul sebagai penceramah jemputan, program berkenaan turut menampilkan Dato Sri Alha Alfa sebagai penceramah jemputan dan Atilia sebagai pengajar jemputan.
PERANTIS diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita menerusi perkongsian ilmu, bimbingan serta pengalaman daripada barisan pemimpin dan tokoh wanita yang berjaya.

Bagi 2026, KPWKM memperuntukkan RM4 juta bagi pelaksanaan program berkenaan dengan sasaran membabitkan 80 pemimpin wanita serta 4,000 peserta di seluruh negara.
Mengulas lanjut, kata Nourul, penglibatannya dalam PERANTIS bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya menjadi kesinambungan kepada misi yang dibawanya menerusi bidang pembangunan diri dan pemerkasaan wanita.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik, selain bergelar usahawan dan jurulatih kehidupan profesional, Nourul kini memberi tumpuan kepada usaha membantu wanita membina semula keyakinan diri serta menyedari keupayaan mereka untuk menentukan hala tuju kehidupan.
Selain itu, Nourul berkata, dia juga menggalas tugas sebagai pengasas Firetalk iaitu sebuah platform pembangunan diri yang lahir daripada pengalaman hidup dan proses transformasi dirinya sendiri.
Menerusi Firetalk, Nourul memberi penekanan terhadap aspek kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, minda serta transformasi peribadi.
Katanya, Firetalk bukan sekadar seminar atau program motivasi, sebaliknya ruang untuk wanita berhenti seketika, melihat ke dalam diri, berani berdepan cabaran dan pengalaman hidup sebelum membina semula keyakinan diri.
“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi.
“Apabila seorang wanita mengubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depannya,” katanya.
Pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia seni turut menjadi sebahagian daripada perjalanan Nourul dalam membentuk perspektifnya terhadap kekuatan dan potensi wanita.
Daripada seorang penyanyi yang memulakan kerjaya sejak usia muda, dia melalui pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya sebelum mengembangkan langkah dalam bidang keusahawanan, pembangunan diri serta coaching.
Menurut Nourul, setiap pengalaman yang dilalui mempunyai nilai tersendiri dalam membentuk dirinya hari ini.
“Muzik mengajar saya tentang hubungan dengan manusia. Kehidupan mengajar saya tentang ketahanan, manakala coaching memberi saya ilmu dan alat untuk membantu orang lain. Firetalk pula menjadi ruang untuk saya menggabungkan kesemuanya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, 2026 turut menyaksikan Nourul merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo pertamanya, For You: Nourul, di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert berkenaan bukan sahaja meraikan perjalanan seninya selama lebih tiga dekad, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan peribadi Nourul dalam membuka lembaran baharu kehidupan.
Kini menerusi PERANTIS 2026, Nourul berharap pengalaman dan ilmu yang dimilikinya dapat dimanfaatkan lebih ramai wanita.
“Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah, kita boleh sembuh, kita boleh membina semula diri dan memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa pun.
“Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya menjadi. Saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka dan potensi yang selama ini mungkin tidak mereka nampak dalam diri sendiri,” katanya.
Bagi Nourul, semangat sebenar kepimpinan wanita bukan sekadar mencapai kejayaan untuk diri sendiri, sebaliknya turut membuka ruang dan jalan supaya lebih ramai wanita berani melangkah ke hadapan.











